MH Online

Laman Suara Rakyat

Sorok Dadah Dalam Tin Minyak Rambut

Sorok Dadah Dalam Tin Minyak Rambut

SERIAN, Cubaan seorang lelaki menyorok dadah jenis syabu dalam tin bekas minyak rambut gagal mengaburi mata pihak polis apabila ditahan, di sini petang semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di rumah tidak bernombor di Kampung Kakai, jam 6.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serian,Deputi Superintendan Aswandy Anis, berkata dalam serbuan terbabit polis membuat pemeriksaan di belakang rumah itu menemui satu bekas tin minyak rambut di dalam bungkusan plastik.

“Selepas diperiksa di dalam bekas tin menjumpai satu peket plastik lutsinar, lima peket plastik lutsinar kecil berwarna biru, enam peket plastik lutsinar kecil dan 10 tiub straw pelbagai saiz dan warna masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 7.46 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, suspek ditangkap dan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian untuk tindakan selanjutnya.

Siasat awal kesemua dadah dirampas dianggarkan RM1,000 mahu diedarkan kepada penagih dadah di sekitar kawasan Serian

“Ujian saringan awal air kencing suspek negatif dadah. Suspek direman empat hari di Balai Polis Serian,” katanya.