MH Online

Laman Suara Rakyat

SOP Zon Hijau Sedang Dirangka

SOP Zon Hijau Sedang Dirangka

KUALA LUMPUR, Majlis Keselamatan Negara sedang memperhalusi rumusan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan di zon hijau, sekiranya kerajaan memutuskan untuk memberi kelonggaran kepada kawasan terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya sedar ada kawasan yang sudah diisytiharkan sebagai zon hijau dan jika ada kelonggaran di kawasan itu, penduduknya masih lagi perlu mematuhi SOP yang akan ditetapkan itu.

Antara perkara atau kelonggaran yang boleh diberikan di kawasan berpagar (gated) termasuk membenarkan penduduk keluar dari kawasan masing-masing, namun tidak boleh keluar dari perimeter kawasan mereka.

“Ia seperti di universiti, tapi kawasan perumahan, contohnya kawasan perumahan PPR (Program Perumahan Rakyat), ‘gated’, tertutup, ada pagar dan sebagainya, keseluruhan penduduk di kawasan itu, selepas sebulan lebih tidak dibenarkan keluar, didapati tiada gejala dalam kalangan mereka.

“Mungkin kita akan mencadangkan, mereka boleh dibenarkan untuk keluar, …turun tetapi masih tidak boleh lagi keluar dari kawasan mereka.

“Mungkin di kawasan berpagar itu, mereka boleh bawa anak turun dan SOP akan dikeluarkan mungkin mengikut blok atau waktu tertentu,” katanya hari ini.

Ismail Sabri berkata, perkara itu sedang dirangka oleh MKN selain pihaknya mendapatkan input daripada semua kementerian.

SOP itu mungkin dapat dimuktamadkan minggu depan sebelum diumumkannya nanti.