MH Online

Laman Suara Rakyat

SOP PKP Kekal Sepangjang Ramadan

SOP PKP Kekal Sepangjang Ramadan

KUALA LUMPUR, Peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) untuk pergerakan rakyat sepanjang Ramadan masih sama dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata arahan itu termasuk waktu perniagaan yang masih sama kecuali untuk operasi di pasar awam dilanjutkan sehingga jam 2 petang.

Beliau berkata, keputusan itu bagi membolehkan orang ramai membeli barang keperluan untuk menyediakan hidangan berbuka puasa dan bersahur.

Katanya, operasi kenderaan awam pula diubah dari jam 5 petang hingga 10 malam kepada 4 petang ke 10 malam.

“Bagi kenderaan awam ini, kita mengambil kira waktu bekerja yang di awalnya seperti kakitangan awam biasanya waktu bekerja diawalkan setengah jam menyebabkan mereka pulang kerja lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan PKP, di Putrajaya, hari ini.

Ditanya kenapa tidak melanjutkan waktu pergerakan orang awam hingga 10 malam bagi membolehkan orang ramai membeli juadah untuk sahur, beliau berkata keadaan itu akan menyukarkan pihak polis mengawal pergerakan keluar masuk orang awam.

“Saya percaya jika dibenarkan lebih ramai akan keluar waktu malam dan menggunakan alasan membeli makanan. Jadi saya nasihatkan rakyat perlu bijak mengatur waktu untuk membeli makanan untuk bersahur,” katanya.