Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Skandal Kementerian Pertahanan Disiasat Selepas Aidilfitri

Skandal Kementerian Pertahanan Disiasat Selepas Aidilfitri

Siasatan dakwaan salah laku dan penyelewengan dalam Kementerian Pertahanan akan dimulakan selepas musim cuti perayaan Aidilfitri.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, yang baru-baru ini dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan khas berhubung perolehan, tadbir urus dan kewangan, akan memulakan tugas selepas menubuhkan pasukannya dan menyediakan pejabat.

“Tiada tempoh masa ditetapkan, satu mesyuarat rasmi membabitkan mereka yang berkenaan akan diadakan segera selepas cuti perayaan ini.

“(Tan Sri) Ambrin lebih daripada layak untuk menjalankan audit forensik ini,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di sini, hari ini.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata walaupun beliau pernah mendengar mengenai ‘skandal’ dalam kementeriannya, tindakan tidak boleh diambil semata-mata berdasarkan apa yang orang lain cakap.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi butiran lebih lanjut mengenai ‘skandal’ yang dimaksudkan itu.

“Kita akan bekalkan apa saja maklumat yang kita ada kepada Ambrin bagi membolehkannya melakukan siasatan yang menyeluruh, biar beliau dan pasukannya membongkar isu ini sehingga ke akar umbi,” katanya.

Pada 6 Jun lalu, Ambrin dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan khas berhubung perolehan, tadbir urus dan kewangan dan tugas pertamanya adalah menyiasat Kementerian Pertahanan.

Leave a Reply

Top