Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Sindiket Macau Scam Tawar Kerja Pada ‘Keldai Akaun’

Sindiket Macau Scam Tawar Kerja Pada ‘Keldai Akaun’

KUANTAN, Menawarkan peluang pekerjaan tidak wujud sebelum menjerat mangsa untuk membuka akaun bank dan menyerahkan butir perbankan kepada anggota sindiket.

Itu antara taktik terbaru dikesan digunakan sindiket ‘Macau Scam’ di negara ini apabila menjadikan mangsa warga tempatan untuk direkrut membuka akaun bank.

Akaun bank yang dibuka mangsa akan digunakan anggota sindiket terbabit sebagai transaksi penyimpanan wang yang diperoleh hasil penipuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata taktik itu dikesan digunakan sindiket bagi memudahkan mereka mempunyai akaun bank dan menjadikan warga tempatan sebagai ‘keldai akaun’.

“Mereka akan mengiklankan tawaran kerja tidak wujud terlebih dahulu…mangsa yang datang menghadiri temu duga akan diminta membuka akaun bank sebelum segala maklumat perbankan termasuk nombor pin keselamatan kad bank diserahkan kepada sindiket.

“Perkara itu seperti tidak menimbulkan keraguan kerana sindiket akan memaklumkan maklumat perbankan diminta bertujuan untuk urusan pembayaran gaji serta disimpan bahagian sumber manusia,” dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, sindiket kemudian akan menghilangkan diri dan tidak menghubungi mangsa sebaik segala maklumat perbankan diperoleh.

Mohd Wazir berkata, untuk rekod tiada sebarang kes dilaporkan di negeri ini membabitkan mangsa yang direkrut menjadi keldai akaun tetapi masyarakat diingatkan berwaspada dan tidak menyerahkan sebarang data perbankan kepada individu tidak dikenali.

Katanya, ada sindiket Macau Scam yang akan menyamar sebagai organisasi yang menawarkan pinjaman sebelum menjerat mangsa untuk menyerahkan maklumat perbankan kononnya atas urusan mendepositkan wang pinjaman kepada mangsa.

“Ada beberapa lagi taktik digunakan sindiket untuk memperdayakan orang ramai membuka akaun dan menggunakan akaun mangsa sebagai platform penyimpanan wang… Kita harap masyarakat semak dahulu sebarang tawaran kerja dan pinjaman yang ingin dibuat sebelum menyerahkan data perbankan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pemilik akaun juga boleh didakwa jika akaun yang didaftarkan atas nama mereka digunakan sindiket Macau Scam.

Katanya, pemilik akaun boleh disiasat mengikut Seksyen 420/109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat menjalankan penipuan.

Mohd Wazir berkata, di Pahang jumlah kerugian membabitkan penipuan Macau Scam meningkat apabila sebanyak RM1.31 juta kerugian dilaporkan pada tahun 2017 meningkat kepada RM3.96 juta hingga Ogos 2018.

Leave a Reply

Top