Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Sindiket Edar Dadah Tumpas

Sindiket Edar Dadah Tumpas

CHERAS, Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM788,700 selepas menahan tiga individu menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata menerusi serbuan pertama, pihaknya menahan lelaki berusia 31 tahun di kondominium sekitar Taman Shamelin Perkasa, di sini, pada jam 10.50 pagi.

Katanya, ia kemudiannya membawa kepada penahanan dipercayai pasangan kekasih iaitu lelaki berusia 27 tahun dan wanita warga Thailand, 29 tahun di kondominium di Kajang, pada jam 1.50 tengah hari.

“Hasil dua serbuan itu, kita rampas serbuk ekstasi seberat 6.7 kilogram (kg), 1,802 pil ekstasi(0.6 kg), cecair ekstasi (270 kg) dan 80 batang rokok mengandungi ganja.

“Turut disita sebuah kereta jenis PROTON Persona bernilai RM26,300, wang tunai berjumlah RM4,181 dan sejumlah mata wangasing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein berkata, suspek berkenaan dipercayai menggunakan aplikasi WeChat bagi menjual bahan terlarang terbabit.

“Mereka menyediakan khidmat penghantaran ke di ibu negara, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Dadah dirampas yang dibungkus dalam paket dan botol pelbagai jenama boleh dibekalkan kepada 196,800 pengguna,” katanya.

Suspek pertama direman selama tujuh hari manakala dua lagi selama enam hari masing-masing bermula semalam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Leave a Reply

Top