MELAKA, Cubaan sembilan warga Bangladesh memasuki negara ini secara haram gagal apabila ditahan sepasukan anggota tentera di kawasan pantai Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, Khamis lalu.

Difahamkan, tekong bot yang membawa semua suspek berusia antara 20 hingga 42 tahun itu, dipercayai tersilap mendarat di pantai milik tentera di Kem Terendak.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata semua warga asing berkenaan diberkas anggota tentera ketika sedang melakukan rondaan, sebelum diserahkan kepada polis.

“Sembilan warga Bangladesh yang dipercayai diseludup masuk melalui pantai Kem Terendak itu dikesan anggota tentera yang bertugas pada 28 September lalu, jam 12.30 tengah hari, sebelum diserahkan kepada polis,”katanya.

Beliau ditemui selepas Karnival Pencegahan Jenayah antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) dan kumpulan muzik Bumiputra Rockers (BPR) di Hard Rock Cafe, di sini, hari ini.

Abdul Jalil berkata, ketika ditahan semua suspek membawa bersama beg pakaian, bagaimanapun penahanan tidak termasuk tekong bot.

“Semua suspek masih ditahan di Balai Polis Melaka Tengah dan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *