Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Sila Siasat Pengakuan Rafizi’ – Mat Hasan

‘Sila Siasat Pengakuan Rafizi’ – Mat Hasan

RANTAU, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta pihak berkuasa menyiasat pengakuan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengaku meminta Dr S Streram merempuh kawalan polis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu (PRU-14).

Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata, jika benar perkara itu berlaku, jelas ketika itu Dr Streram hanya ‘berdrama’ tidak membawa pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, sebagai calon yang mahu bertanding pada PRU, pas itu antara perkara penting untuk dibawa bersama.

“Jelas ketika itu Rafizi mahu menunjukkan sistem atau proses PRK tidak elok dan tidak telus, jadi jika betul dia yang menyuruh rempuh, pihak berkuasa perlu buat siasatan.

“Ketika itu nama baik polis dan SPR turut tercemar seolah polis yang ganyang mereka sedangkan mereka yang sengaja merempuh,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.

Pada PRU-14 lalu, Dr Streram tidak dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon kerana tidak membawa pas SPR menyebabkan PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Seremban, mengisytiharkan kemenangan Mohamad pada PRU-14 terbatal dan tidak sah.

Malam tadi Rafizi ketika di Ceramah Umum Pakatan Umum mengakui dia yang meminta Dr Streram merempuh kawalan polis supaya dibenarkan masuk ke pusat itu.

Apabila ditanya sama ada pengakuan Rafizi itu adalah satu hasutan, Mohamad berkata itu perlu disiasat.

Sementara itu, bekas Menteri Besar berkenaan turut menyelar dakwaan kononnya kerajaan BN sebelum ini boleh mengatur pilihan raya.

“Jika benar BN boleh mengatur pilihan raya, kita tak kalah pada PRU lalu. Tapi kita kalah dan jelas terbukti sistem dan proses dilakukan SPR telus,” katanya.

Dalam pada itu Mohamad turut meminta SPR membuat siasatan berkenaan proses kempen pihak yang jelas melanggar peraturan pilihan raya.

Antara kempen yang dibuat pihak itu katanya, termasuk memberikan wang kononnya untuk Aidilfitri, mengadakan jamuan makan dan menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti mencuci kereta dan menukar minyak hitam secara percuma.

“Mujur pemberian wang tidak sempat dibuat selepas laporan polis dilakukan.

“Saya juga berharap pemerhati SPR dapat menjalankan tugas dengan baik supaya tiada lagi pihak yang melanggar peraturan pilihan raya,” katanya.

Leave a Reply

Top