Anda di sini!
Utama > Sukan > Sharapova Laung Amaran

Sharapova Laung Amaran

Juara lima kali Grand Slam Maria Sharapova melaungkan amaran yang dirinya masih belum boleh diketepikan dalam perebutan kejuaraan di Terbuka Australia apabila mencatat kemenangan 6-0, 6-0 atau bagel berganda (double bagel) ke atas Harriet Dart dari Britain pada pusingan pertama hari ini.

Bintang Russia itu hadir di Melbourne Park sebagai pilihan ke-30 selepas gagal menyertai di peringkat Grand Slam sejak kembali daripada penggantungan doping pada tahun 2017.

Tetapi pemain 31 tahun itu membuktikan usia dan cuaca panas di Australia bukan penghalang buatnya untuk menafikan Dart daripada memenangi sebarang permainan sepanjang tempoh 63 minit pertembungan antara mereka.

Sharapova, juara di Melbourne Park pada tahun 2008, berkata dia merasa positif selepas mengharungi tempoh sukar dalam kariernya.

“Saya cinta apa yang saya lakukan, saya suka bersaing dan mencabar diri saya untuk menjadi lebih baik,” kata Sharapova.

“Pemain-pemain muda semakin meningkat dan suatu hari nanti akan mengambil alih tempat kami tetapi bukan sekarang, kami mahu sedikit masa lagi.”

Sepanjang siri jelajah, Sharapova sudah melakukan double bagel sebanyak lima kali, termasuk dua kali berturut-turut di Terbuka Australia 2013 ke atas rakan senegara Olga Puchkova dan Misaki Doi dari Jepun dalam dua pusingan pertama kejohanan.

Bagaimanapun perkara sama pernah dilakukan ke atasnya oleh Lindsay Davenport dari Amerika Syarikat yang menewaskannya 6-0, 6-0 di Indian Wells pada tahun 2005. – AFP

Leave a Reply

Top