KUALA LUMPUR, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil memberi bayangan bersedia bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), berkata segala keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti.

“Orang politik mesti bersedia untuk segala-galanya…terpulang pada Pengerusi (BN) (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Wanita BN kepada penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Selangor King George V Silver Jubilee, di sini, pada isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kesediaannya untuk membuat kemunculan semula pada PRU akan datang.

Sementara itu, ketika mengulas desas-desus bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Sungai Besar, Shahrizat menjawab: “Macam-macam khabar angin saya dengar. Terima kasihlah yang bercakap saya akan bertanding di sana-sini, dalam politik biarlah orang mahu kita. Tapi semuanya terpulang pada bos saya (Najib).”

Sementara itu, Shahrizat berkata Wanita BN telah menyerahkan manisfesto PRU14 sayap itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak untuk dipertimbangkan.

Katanya, antara perkara yang terkandung dalam manifesto tersebut ialah pembinaan Pusat Jagaan Integrasi di setiap kawasan Parlimen dalam Rancangan Malaysia ke-12 jika BN masih diberi mandat selepas PRU14.

“Ini kerana pada hari ini kebanyakan pusat jagaan orang tua hanya fokus warga emas tetapi tiada interaksi membuatkan mereka ini sunyi di hari menua mereka.

“Ini perlu diubah di mana pusat jagaan ini perlu diintegrasi bersama pusat jagaan kanak-kanak dan pusat aktiviti komuniti supaya adanya komunikasi dengan pelbagai lapisan,” katanya.

Sementara itu, Shahrizat menyampaikan sumbangan keperluan dan wang tunai bersempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada 125 penghuni pusat jagaan tersebut.

Wanita BN juga menyumbangkan RM10,000 kepada pusat jagaan yang telah beroperasi selama 73 tahun itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *