Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Shahanim Tetap Setia Kepada Parti

Shahanim Tetap Setia Kepada Parti

SUNGAI PETANI, Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), beliau disebut-sebut akan menjadi calon Barisan Nasional (BN) tetapi namanya tidak disenaraikan, namun bagi Datuk Shahanim Mohamad Yusoff ia bukanlah alasan untuk mengkhianati UMNO walaupun jelas beliau kecewa dengan perkara itu.

Calon BN PRU14 bagi kerusi Parlimen Sungai Petani itu mengakui beliau menangis sepanjang hari setelah mengetahui nama tidak tercalon untuk bertanding dalam pilihan raya umum lima tahun lalu.

Mana tidaknya, ketika itu beliau merupakan Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Pusat, malah beliau dilihat cukup berpengaruh kerana telah lama berbakti di kawasan Parlimen Sungai Petani.

“Memang saya tak nafikan, bila kita dah buat kerja, kita dah berkhidmat, sikit sebanyak kita pun ada harapanlah untuk menjadi wakil kepada rakyat, nak tolong rakyat lebih lagi, sebab kalau jawatan dalam parti sahaja tak boleh tolong banyak, bila jadi wakil rakyat baru boleh tolong banyak.

“Tidak dinafikan apabila tidak dicalonkan, ada perasaan sedih, buat apa kita nak tipu, kita bagi tau benda betulkan, menangis, satu hari juga menangis…esok itu pengumuman calon, akhirnya malam itu, mak saya, suami saya, keluarga saya pun pujuk saya,” dipetik sebagai berkata.

Shahanim berkata bagaimanapun kesedihan itu hanya sementara kerana perjuangan parti membela nasib agama dan bangsa menjadi keutamaannya untuk terus setia bersama pemimpin serta UMNO hingga kini.

Beliau turut mengakui pada waktu itu ada unsur yang datang untuk mendorongnya mensabotaj dan mengkhianati parti namun Shahanim tidak mudah terpengaruh dengan perkara negatif sedemikian kerana menyayangi parti melebihi kepentingan sendiri.

“Saya tak akan sesekali keluar parti. Kalau ke depan saya tak jadi pemimpin tertinggi UMNO pun, Insya-Allah, saya tak akan keluar parti sebab saya tahu perjuangan UMNO ini untuk orang Melayu, dan BN adalah yang terbaik untuk semua kaum di Malaysia,” katanya.

Biarpun tiada rezeki menjadi calon pada PRU13, Shahanim membuat kejutan besar yang positif apabila memenangi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani dalam pemilihan peringkat bahagian pada Oktober 2013.

Tidak ramai wanita memegang jawatan utama dalam bahagian UMNO dengan jawatan paling tinggi kebanyakannya adalah setakat ketua wanita.

Mengulas lanjut, beliau tidak menyangka kerja kuatnya selama 12 tahun sejak menyertai Pergerakan Puteri UMNO pada 2001 dilihat dan dinilai semua ketua cawangan UMNO bahagian itu hingga menyokong sepenuhnya beliau bertanding merebut jawatan itu.

“Bila 2013, saya dah habis tempoh dalam Puteri (UMNO) apabila umur sudah melebihi 40 tahun…bila dah habis dalam Puteri saya tak nak dah bertanding dalam UMNO, saya dah penat dah 12 tahun sebab saya dalam politik daripada umur 28 tahun, masa itu saya sedang mengandung anak bongsu.

“…bayangkan, bagi saya anak saya kurang kasih sayang, masa saya banyak kepada rakyat, buat kerja program kemasyarakatan, jadi saya ingat cukuplah, bagi peluang kepada orang lain, tetapi bila ramai Ketua UMNO cawangan datang ke rumah cakap ‘Shahanim, jangan tak bertanding, bertandinglah apa-apa jawatan pun, kami akan bantu’ sebab mereka tengok saya sebagai seorang yang buat kerja,” katanya.

Mengulas tentang PRU14, Shahanim, calon wanita tunggal di Kedah yang bertanding kerusi Parlimen, berterus terang bahawa beliau sendiri terkejut atas pencalonan itu.

Ini kerana beliau menyangkakan pucuk pimpinan memberikan amanah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memandangkan beliau calon muka baharu.

“Macam mana pun saya tetap positif, saya tetap akan lawan sampai habis. Saya katakan pada diri saya, kita kena usaha sehabis baik, lain-lain kita kena serah kepada Allah. Kerja saya buat 17 tahun dulu, kalau rakyat betul suka saya, rakyat akan nilai saya pada 9 Mei ini,” katanya.

Katanya keputusan PRU14 nanti akan menjadi penanda aras sama ada gerak kerjanya yang sebaik mungkin sejak 17 tahun lepas di Sungai Petani disukai penduduk setempat atau sebaliknya, dan sekiranya pilihan raya umum itu memihak kepadanya maka beliau perlu berkhidmat dengan lebih baik lagi selepas ini.

Shahanim berkata biarpun wakil rakyat di sini bukannya daripada BN namun penduduk jelas nampak bahawa pemimpin BN dan UMNO yang cepat tampil menghulurkan bantuan pada saat sukar dan memerlukan sumbangan.

“Kalau hujan malam ni, contohnya hujan 8 malam sampai 1, 2 pagi, dah mula banjir, masa itu orang nampak pemimpin UMNO, orang tak nampak Datuk Johari Abdul, orang tak nampak YB (Yang Berhormat) PKR, kat sinilah saya tengok wakil rakyat sedia ada tak membantu di saat susah orang Sungai Petani,” katanya.

Kawasan Parlimen Sungai Petani, yang mempunyai 112,577 pengundi berdaftar bagi PRU14 menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Shahanim dengan Johari?? daripada PKR, Sharir Long (PAS) dan P. Sritharen (PRM).

Leave a Reply

Top