Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyangkal dakwaan kononnya syarikat disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana awam yang dikaitkan dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebagai miliknya.

Beliau yang juga bekas menteri di kementerian berkenaan, mendakwa tuduhan berkenaan hanya rekaan.

“Saya tidak mahu cerita rekaan. Berdasarkan penilaian prestasi pada 2009, 2012 dan 2013 yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau mengucapkan tahniah atas pencapaian saya.

“Bukan kita tidak buat kerja yang bagus, kita buat yang terbaik dan semua ini fakta. Dalam kementerian, kita bantu orang miskin tegar dan mereka yang di luar bandar. Bukan kita ambil dan masuk dalam akaun sendiri.

“Kita bukan bohong, jangan beritahu saya semua syarikat ini (yang disiasat SPRM) adalah milik saya. Tolonglah, jangan buat cerita,” katanya ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, hari ini.

Beliau yang kini Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) sedia membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana di kementerian berkenaan.

Menjawab soalan sama ada ia satu serangan politik terhadapnya, Mohd Shafie mempersoalkan kenapa tiada siasatan sebelum beliau meninggalkan kementerian berkenaan.

“Apabila saya dalam kerajaan, pencapaian adalah baik. Sekarang, apabila di luar kerajaan, saya buat salah. Selama ini kenapa tiada salah?

“Apa yang penting sekarang, kita akan bantu (siasatan),” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata dianggarkan RM1.5 bilion diselewengkan daripada RM7.5 bilion dana awam untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah dari tahun 2010 hingga 2016.

Azam dilaporkan berkata, lebih 60 syarikat dikenal pasti terbabit melaksanakan projek berkenaan dan usaha mencari semua mereka yang terbabit kini giat dijalankan.

Semalam, SPRM menahan tiga individu, termasuk pemimpin kanan Parti Warisan Sabah dipimpin Mohd Shafie berkaitan siasatan penyelewengan dana bagi pelaksanaan projek pembangunan di Sabah oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *