MH Online

Laman Suara Rakyat

Sevilla, Shaktar Ke Separuh Akhir

Sevilla, Shaktar Ke Separuh Akhir

Sevilla layak ke separuh akhir Liga Europa pagi tadi selepas tandukan lewat Lucas Ocampos membenam Wolverhampton Wanderers manakala Shakhtar Donetsk membelasah Basel 4-1 bagi menyertai kelab Sepanyol itu dalam kelompok empat terakhir.

Juara lima kali, Sevilla akan berdepan Manchester United di Cologne Ahad ini hasil tandukan baik pemain Argentina, Ocampos kurang dua minit baki permainan seterusnya memberikan kemenangan 1-0 manakala Shakhtar akan bertemu Inter Milan pada Isnin dalam satu lagi pertemuan.

Sevilla mendominasi lawan dari England itu dalam sebahagian besar permainan, ketika impian Wolves mencatat kejayaan di Eropah berkubur.

“Saya bangga dengan pemain saya. Kami perlu banyak bersabar berdepan pasukan yang sangat bagus,” kata jurulatih Sevilla, Julen Lopetegui, dengan pasukannya kini tidak tewas dalam 19 perlawanan untuk semua kejohanan.

“Kami ada cita-cita, kami bekerja keras… tapi kami akan bermain menentang Manchester United… pasukan terbesar bola sepak dunia.”

Pasukan Liga Perdana, Wolves merasakan mereka akan membuat permulaan sempurna pada minit ke-11 apabila Adam Traore mara ke gol lawan dari kawasan sendiri sebelum dijatuhkan Diego Carlos.

Bagaimanapun Raul Jimenez, yang menjaringkan semua lapan penalti buat Wolves, membuat cubaan lemah berdepan Yassine Bounou yang menepis hantaran pemain Mexico itu.

Di Gelsenkirchen, Shakhtar menempah tempat ke kelompok empat terakhir dengan kemenangan mengatasi Basel seterusnya memberikan Inter Milan sesuatu untuk difikirkan pada pertemuan Isnin depan.

“Saya rasa menakjubkan kerana kami bekerja keras dan percaya kami boleh ke final,” kata penjaring gol, Junior Moraes.

“Jika anda mahu menguji diri sendiri, anda perlu menentang pasukan yang berada di tahap tertinggi ini.” – AFP