KUALA LUMPUR, Tiga kakitangan seorang Ahli Parlimen termasuk setiausaha politiknya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah, direman empat hari sehingga Isnin ini.

Permohonan reman dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat di hadapan Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Tiga suspek terbabit kemudian dibawa keluar dari IPD Dang Wangi sambil dikawal enam pegawai SPRM, kira-kira jam 12.08 tengah hari.

Mereka sebelum ini diletakkan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur di Jinjang dan lokap IPD Dang Wangi sementara menunggu perintah reman.

Siasatan kes berkenaan yang ada kaitan dengan rasuah bagi menyelesaikan isu imigresen, dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A)Akta SPRM 2009.

Sementara itu, peguam ketiga-tiga suspek, Eric Paulsen memberitahu media, SPRM turut menahan seorang lagi individu lain berhubung kes sama.

Semalam, media melaporkan SPRM menahan tiga kakitangan seorang Ahli Parlimen bagi membantu siasatan kes rasuah dalam isu berkaitan imigresen.

Mereka yang ditahan berkhidmat sebagai setiausaha politik, pembantu peribadi dan kerani kepada Ahli Parlimen berkenaan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *