MH Online

Laman Suara Rakyat

Setem Ejen Ali Edisi Terhad

Setem Ejen Ali Edisi Terhad

KUALA LUMPUR, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bekerjasama dengan Primeworks Studios dan WAU Animation untuk mengeluarkan siri setem Ejen Ali edisi terhad, sempena tayangan filem animasi Ejen Ali The Movie.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor, berkata ia berikutan Ejen Ali adalah filem animasi Malaysia paling hangat sejak ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 November lalu dengan mencatatkan kutipan lebih RM20 juta dalam tempoh dua minggu.

“Ejen Ali The Movie adalah filem animasi pertama diabadikan pada setem pos edisi istimewa tempatan.

“Kami berazam untuk terus membuka peluang kepada usahawan muda dan bakat tempatan bagi menggalakkan kreativiti serta memberi inspirasi terhadap generasi muda.

“Selain itu, matlamat kami ialah menggalakkan peminat daripada segenap lapisan masyarakat untuk menjadikan aktiviti mengumpul setem sebagai hobi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Ejen Ali The Movie adalah sebuah filem animasi Malaysia bertemakan fiksyen dan aksi dengan berkisar mengenai Ejen Ali perlu merungkai misteri yang mengancam kota futuristik Cyberaya.

Filem yang turut memaparkan soal kesetiaan kepada agensi rahsia Meta Advance Tactical Agency (MATA) itu menerima maklum balas positif daripada penonton, sekali gus menandakan pencapaian baharu Primeworks Studios.

Mengulas lanjut, Syed Md Najib berkata, setem edisi khas terbabit akan menampilkan 10 watak utama dalam Ejen Ali The Movie yang terdiri daripada Ejen Ali, Ejen Alicia, Ejen Comot, Ejen Bakar, Ejen Rizwan, Ejen Fit, Ejen Bobby, General Rama & Kawan-Kawan, Niki dan Pengganas.

“Siri Setem Ku edisi terhad ini akan dijual pada harga RM35 setiap satu set yang terdiri daripada 10 keping setem, sampul surat, poskad dan folder menampilkan kesemua 10 watak utama dalam Ejen Ali The Movie.

“Peminat boleh membeli set setem Ejen Ali mulai 18 Disember ini di 13 Pejabat Pos Besar seluruh negara atau melalui kedai online kami, www.eziemall.com bawah pautan Setem & Koleksi,” katanya.

Mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai setem dan produk filateli lain, Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia boleh dihubungi melalui talian 03-2267 2267 (sambungan 2000) atau e-mel: filateli@pos.com.my.