ALOR SETAR, Empat individu termasuk sepasang kekasih yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Taman Bersatu, Kuala Kedah, di sini, semalam, ditahan sembilan jam selepas melakukan jenayah itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail, berkata semua suspek berusia antara 17 hingga 32 tahun itu ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, jam 10 malam.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, katanya, mereka dipercayai memecah masuk rumah terbabit dengan melarikan pelbagai barang yang bernilai kira-kira RM35,000.

Bagaimanapun, beliau berkata, kegiatan mereka disedari orang ramai yang kemudian menyerahkan nombor pendaftaran Proton Iriz yang dinaiki suspek.

“Susulan laporan polis dibuatnya, kita berjaya mengesan kereta terbabit yang disewa suspek di sebuah hotel di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebelum menahan mereka.

“Siasatan awal, mereka mengaku terbabit dengan 20 kes pecah rumah dan 10 kes curi motosikal sekitar daerah ini, sejak setahun lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini, hari ini.

Yazri berkata, polis turut menemui semula barang yang dicuri termasuk barang kemas, barang elektrik termasuk wang tunai RM400 dan duit siling.

“Ujian air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine manakala wanita yang juga teman wanita seorang suspek disahkan negatif.

“Semua suspek termasuk seorang yang mempunyai rekod dikehendaki kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah rumah,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *