Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Seorang Rakyat Malaysia Parah Ditembak Di Chrischurch

Seorang Rakyat Malaysia Parah Ditembak Di Chrischurch

KUALA LUMPUR, Seorang rakyat Malaysia dikatakan parah akibat ditembak dalam kejadian tembakan rambang di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand, pada jam 1.40 tengah hari tadi (waktu tempatan).

Sumber Wisma Putra juga mengesahkan keadaan mangsa kini stabil dan wakil Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand sudah menghubungi keluarganya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Berikutan itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai mangsa.

“Setakat ini hanya seorang rakyat Malaysia disahkan cedera dan di rawat di hospital berhampiran,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand di talian +64210440188 atau mwwellington@kln.gov.my bagi mengetahui keadaan keluarga atau kenalan mereka di sana.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam satu kenyataan menerusi Twitternya berkata: “Malawakil telah tweet ada seorang rakyat Msia terlibat. Keadaannya stabil. Malawakil juga sudah menghubungi isteri mangsa.”

Sebelum ini media melaporkan beberapa orang maut manakala beberapa lagi cedera apabila seorang penembak melepaskan tembakan rambang di sebuah masjid yang penuh sesak menjelang solat Jumaat di Christchurch, New Zealand.

Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya enam terbunuh dan bandar di Pulau Selatan itu ditutup kepada orang ramai.

Polis New Zealand berkata, serangan berlaku di dua lokasi berbeza dan seorang lelaki ditahan susulan insiden tembakan rambang di Christchurch itu.

Leave a Reply

Top