Share on Facebook

PUTRAJAYA, Senarai calon yang bakal mewakili UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah diserahkan kepada Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata Najib dan Naib Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti sedang dalam rangka bertemu semua ketua bahagian UMNO bagi memperhalusi senarai calon itu.

“Ini untuk memastikan calon yang diberi adalah yang disukai rakyat, bukannya semata-mata pilihan parti atau individu tertentu,”kata Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan semasa ditemui pada program jualan ikan separuh harga anjuran UMNO Putrajaya di sini, pada khamis.

Beliau berkata berdasarkan senarai berkenaan, peratusan calon muda dan berpengalaman adalah seimbang.

Berhubung muka lama yang pernah tewas dalam PRU sebelum ini tetapi berhasrat bertanding semula pada PRU14, Tengku Adnan berkata peluang masih terbuka namun, mereka perlu mengemukakan alasan bagi kekalahan lalu dan bagaimana memenanginya pada PRU14.

“Mereka boleh mempromosi diri sendiri tetapi perlu bersedia menerima hakikat sekiranya tidak dipilih kerana tindakan mempromosi dibuat mereka sendiri, bukannya oleh parti,”katanya.

Tengku Adnan berkata UMNO mempunya mekanisme tersendiri dalam menentukan calon pilihan raya selain tapisan oleh agensi tertentu seperti polis, Jabatan Insolvensi dan Suruhanraya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC yang dilihat terkedepan dalam mengumumkan calon PRU14 bagi kawasan tertentu berbanding UMNO, Tengku Adnan berkata ia mungkin disebabkan jumlah calon dan kerusi bagi parti terbabit adalah sedikit berbanding UMNO.

“Mereka boleh umum tetapi kita akur kepada saranan presiden agar ia tidak dilakukan sehingga pengumuman rasmi calon dibuat apabila tiba masanya,”kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.

Mengenai program jualan ikan separuh harga, beliau berkata sebanyak tiga tan ikan termasuk pelaling, kerisi dan cencaru dijual kali ini.

Selain itu, sebanyak 750 ekor ayam turut dijual dengan harga RM5 sekilogram, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *