Share on Facebook

Semua tanah rizab Orang Asli (OA) di Malaysia kini dalam fasa akhir pengukuran, sebelum diserahkan ke kerajaan negeri untuk diwartakan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata isu pencerobohan tanah rizab OA semakin meruncing kerana kawasan mereka tidak diwartakan.

Sehubungan itu, katanya, kementerian sudah mengenal pasti 132,631.04 hektar tanah rizah OA, iaitu merangkumi kawasan kebun dan perumahan untuk manfaat serta pembangunan masa depan masyarakat berkenaan.

“Sehingga hari ini, 32,779.37 hektar tanah sudah diberikan geran berasingan, manakala 19,870.08 masih menunggu untuk diwartakan selepas diluluskan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri berkaitan.

“Selain itu, seluas 74,838.86 hektar tanah OA ketika ini sudah diserahkan kepada kerajaan negeri, manakala 5,142 hektar masih dalam fasa pengukuran.

“Kita jangka sebelum akhir tahun ini, semua tanah OA siap diukur sepenuhnya dan akan diserah kepada kerajaan negeri untuk diwartakan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin), dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Hasan membangkitkan isu penularan pencerobohan tanah rizab OA di seluruh negara, sekali gus memaksa masyarakat yang lazimnya tinggal di pedalaman berkenaan dalam keadaan ditindas.

Menjawab soalan asal Hasan mengenai langkah kerajaan dalam memartabatkan masyarakat OA, Ismail berkata, kementeriannya menumpukan usaha terhadap tiga aspek.

Beliau berkata, ia merangkumi inisiatif membangunkan prasarana asas, memacu ekonomi dan memperkasakan tahap OA bagi melonjak taraf sosioekonomi mereka.

“Bagi prasarana, setakat ini, 80 peratus daripada perkampungan OA sudah mendapat liputan jalan, manakala bekalan air dan elektrik pula berada pada tahap 81 peratus.

“Kita sasarkan semua kampung OA bakal miliki 100 peratus bekalan air dan elektrik menjelang 2023.

“Menerusi aspek ekonomi, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kerjasama dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

“Kerjasama strategik ini meraih kejayaan apabila 158 projek tanaman semula komersial dengan keluasan 27,404.33 hektar berupaya dilaksanakan, sekali gus menaja faedah kepada 8,817 peserta, iaitu masyarakat OA.

“Kita juga berjaya melahirkan 595 usahawan OA setakat ini, malah kementerian menyasarkan tambahan 600 usahawan OA, selaras matlamat digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11),” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *