Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Semua Projek Luar Bandar Diteruskan

Semua Projek Luar Bandar Diteruskan

IPOH, Kerajaan membuat keputusan meneruskan 199 projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di seluruh negara bagi tahun 2018.

Menterinya, Rina Mohd Harun berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dan kajian secara menyeluruh membabitkan beberapa kementerian.

“Keadaan kekangan kewangan membuatkan kita (kerajaan) mengkaji semula semua projek termasuk membabitkan KPLB dan kajian itu dalam tempoh dua bulan lalu.

“Selepas kajian dibuat bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan, suka saya umumkan sebanyak 199 projek di bawah KPLB pada 2018 akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu selepas membuat kunjungan hormat di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Menurutnya, projek yang diteruskan itu adalah bagi semua negeri termasuk Perak membabitkan pelbagai projek yang akan memberi manfaat kepada rakyat terutama masyarakat luar bandar.

“Kunjungan saya kali ini adalah bagi mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri membabitkan projek yang pastinya akan memberikan manfaat kepada rakyat.

“Di Perak sebanyak 41 projek yang akan diteruskan membabitkan peruntukan sebanyak RM191 juta di mana antaranya adalah menaiktaraf jalan raya di Tasik Raban, Lenggong dan membina jalan baharu di Kamunting, Taiping,” katanya.

Ahmad Faizal pula berkata, dalam kunjungan rasmi KPLB itu pihaknya membuat perbincangan mengenai beberapa projek yang sedang dan akan dilaksanakan.

“Saya berterima kasih kerana beberapa projek yang tertangguh kini kita boleh dimulakan dengan rundingan agar ia dapat diteruskan dan ini tentunya memberi berita baik kepada masyarakat di luar bandar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penambahbaikan dan pembaharuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang ingin dilaksanakan kementeriannya, Rina berkata, fokus utama adalah membabitkan pendidikan dan keusahawanan.

“Fungsi awal MARA adalah untuk membantu masyarakat luar bandar terutama dari segi pendidikan dan keusahawan.

“Bagi pendidikan kita akan perkasakan lagi institusi pendidikan yang ada di bawah agensi berkenaan seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan kita juga akan lahirkan lebih ramai lagi usahawan luar bandar dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Top