Share on Facebook

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar pihak tertentu yang menggunakan kajian akademik bagi menimbulkan ketegangan hubungan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian berat sebelah dan prasangka berhubung Perjanjian Malaysia 1963 tidak seharusnya dijadikan sandaran bagi memanipulasi fakta hingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat Malaysia berhubung isu hak Sabah dan Sarawak.

Walaupun berbeza pegangan politik, katanya, rakyat dan ahli politik perlu memiliki penyatuan pemikiran atas nama Malaysia, selain mengetepikan agenda sempit yang akan merosakkan kesatuan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

“Mutakhir ini, ada ahli akademik menggunakan kajian seumpamanya untuk cuba mempengaruhi pembaca dan menyemarakkan api kebencian terhadap kononnya, kelemahan dalam 20 Perkara yang dipersetujui pemimpin dulu.

“Yang tak dapat ditukar hanya al-Quran dan hadis, perjanjian boleh dirunding.

“Jika memang ada kelemahan atau perkara yang harus dikemas kini, kaedah terbaik adalah melakukan perundingan dengan kebijaksanaan dan ketatasusilaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku ‘Berpisah Tiada’ di Parlimen di sini, pada isnin.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta beberapa menteri dan Ahli Parlimen.

Buku setebal 147 halaman yang ditulis Pandikar itu, antara lain mengetengahkan isu berkaitan kedudukan dan kepentingan Sabah dalam Malaysia, khususnya dari aspek undang-undang, sejarah, politik dan Perlembagaan.

Ahmad Zahid berkata, penubuhan Malaysia perlu dikekalkan seperti dihasratkan pemimpin terdahulu yang memeterai Perjanjian Malaysia 1963 walaupun menerima pelbagai tekanan, khususnya dari Filipina dan Indonesia.

“Malaysia harus hidup bukan sekadar sehingga 33 tahun akan datang. Malaysia akan ada sebagai sebuah Persekutuan sampai bila-bila.

“Sabah, Sarawak dan Semenanjung berpisah tiada,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *