Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Sembilan Individu Terlibat Aktiviti Pengganas Ditahan

Sembilan Individu Terlibat Aktiviti Pengganas Ditahan

KUALA LUMPUR, Seramai sembilan individu termasuk dua warga tempatan disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan pengganas ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka terdiri daripada enam warga Mesir, dua warga tempatan dan seorang warga Tunisia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, dalam kenyataan hari ini, berkata tangkapan itu dibuat antara 2 hingga 9 Februari lalu dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dan Sarawak.

Katanya, tangkapan dibuat selepas polis menerima maklumat daripada agensi perisikan asing mengenai kehadiran suspek ‘Foreign Terrorist Fighter’ yang menjadi anggota kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang beroperasi di Utara Afrika.

“Tangkapan pertama dilakukan pada 2 Februari di Serian Sarawak, membabitkan seorang lelaki warga Mesir dan dua orang warga tempatan, termasuk seorang wanita (semua) berusia 20 hingga 54 tahun.

“Ketiga-tiga suspek ditahan kerana menyembunyikan maklumat mengenai kehadiran operatif Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang transit di Malaysia, melindungi dan turut bertindak sebagai fasilitator dalam menyediakan tempat tinggal, pekerjaan dan tiket kapal terbang.

“Hari yang sama di Setapak (Kuala Lumpur), seorang tenaga pengajar lelaki di sebuah sekolah agama berusia 42 tahun, ahli Ikhwanul Muslimin ditahan kerana bertindak sebagai fasilitator menyediakan penginapan kepada dua anggota Al-Shariah Al-Tunisia yang menyusup masuk ke Malaysia pada Oktober tahun lalu,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan ketiga dan keempat turut dibuat pada 2 Februari di Bukit Bintang dan Sri Kembangan membabitkan dua warga Mesir berusia 24 dan 28 tahun, pelajar institusi pengajian di Lembah Klang dan Pantai Timur.

“Kedua-dua suspek mengaku sebagai ahli Ikhwanul Muslimin ditahan kerana bertindak sebagai fasilitator dalam pembelian tiket penerbangan kepada dua anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang menyusup masuk Oktober tahun lalu.

“Tangkapan kelima dibuat dua hari kemudian di Kuala Lumpur, membabitkan dua suspek warga Mesir dan Tunisia anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia berusia 21 dan 22 tahun.

“Kedua-dua suspek pernah ditahan pada 2016 ketika cuba menyusup masuk ke sebuah negara Afrika, menggunakan pasport Syria untuk masuk ke Malaysia dan kemudian menjadikan Malaysia tempat transit sebelum menyusup masuk ke negara ketiga untuk lancarkan serangan,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan terakhir dibuat pada 9 Februari di Ampang, Selangor membabitkan seorang lelaki guru bahasa Arab yang mengaku menjadi ahli Ikhwanul Muslimin kerana turut bertindak sebagai fasilitator menyediakan penginapan kepada dua anggota Al-Shariah Al-Tunisia.

“Hasil siasatan mendedahkan elemen ‘Foreign Terrorist Fighter’ cuba menjadikan Malaysia sebagai lokasi selamat, destinasi transit dan pangkalan logistik, mereka menyusup masuk menggunakan dokumen palsu atau sah, berkahwin dengan rakyat tempatan, eksploitasi kemudahan pengajian dan menjalankan perniagaan.

“Penyusupan masuk ‘Foreign Terrorist Fighter’ ini harus dipandang serius terutama selepas kekalahan Islamic State di Syria dan Iraq. Kehadiran mereka juga boleh menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk menyerang negara ketiga atau lancar serangan di Malaysia,” katanya.

Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Semua suspek warga asing sudah diusir ke negara asal mengikut Seksyen 9(1) Akta Imigresen 1959/63 pada 5 Mac lalu dan dicadangkan untuk disenarai hitam daripada memasuki Malaysia seumur hidup.

Leave a Reply

Top