Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Semak Dulu Kesahihan Maklumat’

‘Semak Dulu Kesahihan Maklumat’

KUALA LANGAT, Pembangkang dijangka akan mencetuskan cerita membangkitkan kebencian rakyat kepada kerajaan dalam tempoh beberapa hari lagi sebelum hari pengundian 9 Mei ini, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, perkara itu tidak asing lagi selepas melihat tohmahan dan fitnah yang dibuat pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Berikutan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa berwaspada dengan strategi pembangkang dalam usaha meraih kemenangan.

“Pada PRU-13, mereka sebarkan berita 40,000 pengundi Bangladesh, tetapi kali ini, fitnah itu tidak akan dibangkitkan, sebaliknya mereka akan buat (dakwaan yang lain).

“Yang pasti akan ada sesuatu yang disimpan pembangkang, cerita fitnah untuk hasut rakyat. Mungkin (fitnah) apa yang terjadi pada pemimpin mereka yang direka untuk bangkitkan kemarahan rakyat.

“Jadi, rakyat kena semak cerita yang keluar dalam empat hari berbaki ini,” katanya selepas Majlis Meraikan Ibu Tunggal dan Anak Yatim Sijangkang, di sini, hari ini.

Turut hadir, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Abdul Fatah Iskandar, calon Parlimen Kuala Langat, Shahril Sufian Hamdan dan calon DUN Sijangkang, Datuk Sulaiman Mohd Karli.

Sementara itu, mengulas pengguguran dua veteran UMNO daripada parti itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin, Khairy berkata, perkara itu satu tindakan wajar kerana mereka berkongsi pentas dengan pembangkang memburukkan BN.

Beliau yang bertanding di kerusi Parlimen Rembau turut menempelak tindakan parti pembangkang yang menerima individu terbabit biarpun sebelum ini mereka lantang dikritik.

“Saya ragu kenapa mereka boleh menerima orang yang sebelum ini mereka kritik. Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah gelar Daim sebagai manusia paling korup di Malaysia tetapi boleh terima (Daim) tanpa syarat.

“Ini jelas menunjukkan pembangkang tiada pegangan, asal boleh menang, terima siapa saja,” katanya.

Leave a Reply

Top