MH Online

Laman Suara Rakyat

Selayang Baru, Gombak Diisytihar PKPD Ke 7

Selayang Baru, Gombak Diisytihar PKPD Ke 7

KUALA LUMPUR, Enam parcel di Selayang Baru, Gombak, Selangor, kini diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 3 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu diambil susulan nasihat Menteri Kesihatan.

Enam parcel berkenaan membabitkan Zon A iaitu di Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah; Zon B (Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru); Zon C (Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21); Zon D (Jalan 3, 5, 7 dan 9) Zon E (Jalan 2, 4, 6 dan 8) Zon F (Blok A, B dan C).

“PKPD ketujuh ini dilaksanakan untuk membendung jangkitan COVID-19, setelah mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan COVID-19 di Pasar Harian Kuala Lumpur dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuat kuasa.

“Dengan pelaksanaan perintah ini, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan manakala bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu,” katanya selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.