Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Sektor Pertanian Dibenarkan Beroperasi

Sektor Pertanian Dibenarkan Beroperasi

KUALA LUMPUR, Sektor pertanian dan perikanan termasuk keseluruhan rantaian perniagaan seperti perkilangan, logistik serta pemasaran dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Merungkai kekeliruan segelintir pihak, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan langkah itu dibuat bagi memastikan rakyat yang bergantung kepada sektor berkenaan berupaya mendapat bekalan mencukupi.

Sehubungan itu, katanya, operasi seperti penanaman padi, penangkapan ikan dan pergerakan kenderaan yang mengangkut hasil pertanian tidak akan disekat oleh pihak berkuasa.

“Setiap aktiviti dan operasi berkaitan sektor pertanian dibenarkan, justeru ada yang tanya, boleh ke nak tanam padi, tabur benih padi, tangkap ikan oleh nelayan?

“Kita nak jelaskan, bukan sekadar pengeluaran sahaja, tetapi apa juga berkaitan pertanian dibenarkan, termasuk kenderaan pengangkutan pertanian yang tidak akan dikenakan sekatan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, wujud segelintir pengusaha sektor pertanian yang terpaksa membuang hasil tanaman mereka selepas terkandas di sekatan jalan raya, sekali gus merencatkan proses penghantaran bekalan ke pusat jualan.

Segelintir golongan petani turut berdepan kekeliruan apabila enggan meneruskan aktiviti penanaman produk pertanian kerana khuatir diberkas pihak berkuasa kerana kerajaan menguatkuasakan arahan PKP.

Kegusaran itu dilihat menjejaskan kadar pengeluaran hasil pertanian dan perikanan di sesetengah kawasan, sehingga gagal memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan menyedari hasil pertanian dan perikanan adalah keperluan asas masyarakat, justeru rantaian aktiviti pengeluaran produk berkenaan diperluaskan mengikut tatacara kawalan tertentu sepanjang PKP.

“Sebab itu kita beri kebenaran untuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) wujudkan pusat jualan barangan segar terkawal untuk memenuhi keperluan pengguna.

“Ingin saya jelaskan, kebenaran beroperasi ini juga diberikan kepada rantaian sektor pertanian seperti membabitkan aktiviti dan pengeluaran baja,” katanya.

Leave a Reply

Top