Pulau Pinang terus cemerlang sebagai satu daripada negeri terkemuka di negara ini dari segi pelancongan dan industri itu juga telah menyumbang 40 peratus daripada ekonomi negeri secara keseluruhan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata THE TOP@Komtar, tarikan terbaru di negeri ini, boleh menjadi platform untuk mempromosikan Pulau Pinang di peringkat domestik dan juga antarabangsa.

“Pulau Pinang telah lama menjadi destinasi pilihan di kalangan pelancong, baik tempatan mahupun antarabangsa.

“Malahan pulau ini telah mencipta nama merentasi dunia, dan baru-baru ini, ia disenaraikan antara 10 destinasi terbaik di dunia untuk menikmati persaraan oleh majalah pelancongan terkenal Conde Nast Traveller,” kata beliau dalam ucapannya sempena pembukaan rasmi THE TOP@Komtar di sini hari Ahad.

Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan oleh Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ahmad Zahid berkata dengan pembukaan THE TOP yang turut menyediakan jambatan kaca Rainbow Skywalk, ia menjadi batu loncatan untuk Pulau Pinang membantu negara mencapai matlamat negara menjadi negara berpendapatan tinggi dalam landskap antarabangsa.

“Struktur tertinggi ini bukan sahaja sebagai ikon tetapi juga memperingati visi mendiang Tun Dr Lim Chong Eu untuk Pulau Pinang. Apabila Tun Dr Lim dilanik sebagai Ketua Menteri, beliau sedar tentang perlunya bagi pembangunan bandar dan pemuliharaan warisan dan dengan itu, Komtar dibina,” katanya.

Ahmad Zahid turut memuji Only World Group kerana mengambil langkah berani kerana memberi wajah baharu kepada Komtar.

Berdasarkan data yang dikumpul oleh Tourism Malaysia, pada tahun 2015 sahaja, negeri ini mencatatkan ketibaan sejumlah 6.3 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

THE TOP@Komtar ialah sebahagian daripada bangunan ikonik dan bersejarah yang menjadi ikon bagi Pulau Pinang selama beberapa dekad dan dibina semasa era bekas Ketua menteri, Tun Dr Lim Chong Eu pada tahun 1970-an.

The Top dijangka menjadi tarikan terbaharu di negeri ini. Ia termasuk jambatan kaca Rainbow Skywalk di tingkat 68, menara tinjau, pusat penyelidikan jurasik dan kubah teknologi Pulau Pinang.

Sementara itu Mohamed Nazri berkata kerajaan persekutuan sentiasa komited dalam membantu kerja-kerja menaiktaraf perkhidmatan kereta kabel ke Bukit Bendera yang menjadi mercu destinasi di negeri ini.

Beliau berkata ia berikutan penggunaan kereta kabel itu mencatatkan peningkatan ekoran bilangan pengunjung ke Bukit Bendera terus meningkat daripada hanya 200,000 pengunjung pada 2008 kepada 1.6 juta pengunjung masa kini.

“Sebab itu dalam peruntukan kementerian saya, sememangnya tiap-tiap tahun saya memasukkan peruntukan bagi kereta kabel. Bukit Bendera memang memerlukan kereta kabel kerana ia merupakan lokasi terkenal dan bilangan pengunjung semakin meningkat,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *