MH Online

Laman Suara Rakyat

Sekatan Pergerakan Di 2 Bandar Di Australia Dilanjutkan

Sekatan Pergerakan Di 2 Bandar Di Australia Dilanjutkan

MELBOURNE, Sekatan pergerakan dan perintah berkurung di dua bandar terbesar di Australia dilanjutkan lima hari lagi, kata Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews.

“Sekatan ini tidak boleh ditamatkan dengan begitu mudah pada tengah malam esok (mengikut jadual asal),” katanya tanpa memaklumkan sampai bila sekatan pergerakan di Melbourne akan dilanjutkan.

Kira-kira 12 juta penduduk diletakkan di bawah perintah sekatan pergerakan di Melbourne dan Sydney, di mana sudah sebulan langkah itu dikuatkuasakan selepas ia gagal mengekang penularan COVID-19 berpunca daripada varian Delta.

Australia adalah antara negara yang berjaya mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti selepas 18 bulan pandemik itu dikesan.

Namun, ia kini menyaksikan lebih 100 kes baharu dicatatkan sehari sehingga menyukarkan usaha mengesan kontak.

Penularan wabak terbaru bermula pada pertengahan Jun lalu apabila seorang anak kapal warga asing menjangkiti seorang pemandu di Sydney.

Virus itu kemudiannya ‘dibawa’ ke Melbourne oleh pasukan penempatan semula, sehingga sekatan pergerakan segera dikuatkuasakan, yang sepatutnya berakhir tengah malam esok, namun masih gagal mengurangkan kadar jangkitan baharu.

Hari ini saja, Victoria merekodkan 13 kes baharu dan Andrews memberitahu penduduk yang sudah kelesuan sekarang bahawa sekatan pergerakan kali kelima itu sedang menunjukkan keberkesanan.

“Kami membuat kemajuan besar, kami sudah menghindari ribuan kes,” katanya.

Sydney berkemungkinan tidak akan keluar daripada pelaksanaan sekatan pergerakan pada minggu keempat akhir bulan seperti mana dijadualkan.

Sabtu lalu, New South Wales memperkenalkan sekatan baharu dan mengarahkan semua kedai tidak penting supaya ditutup dan hari ini, negeri terbabit merekodkan 98 kes baharu. – AFP