MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Sekarang Masa Untuk Bekerja’

'Sekarang Masa Untuk Bekerja'

PEKAN, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini yang baharu, Mohd Sharim Md Zain, mahu memastikan tiada masyarakat di kawasan itu tersisih daripada perhatian kerajaan.

Menyifatkan masa untuk bekerja sudah bermula sebaik diisytiharkan pemenang, anak muda berusia 41 tahun itu berkata misi utamanya ialah menyelesaikan permasalahan penduduk dan beliau akan bertemu dengan semua pemimpin masyarakat setempat untuk tujuan itu.

Mengakui masih mentah dalam hal politik, Mohd Sharim yang juga generasi kedua Felda Chini 3 berkata, beliau sedia belajar dan berhasrat menjadikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, sebagai mentor.

“Alhamdulillah semuanya berakhir dengan baik untuk BN (Barisan Nasional). Sekarang masa untuk belajar dan bekerja. Saya mohon diberikan masa untuk menyesuaikan diri memandangkan pemilihan saya (sebagai calon) juga tidak pernah diimpikan.

“Saya berjanji melakukan sehabis baik dan mohon semua yang lain sama-sama mendoakan saya supaya terus istiqamah dalam perjuangan,” katanya ditemui BERNAMA di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, dekat sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau diumum mengatasi dua calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, sekali gus meneruskan penguasaan BN di kerusi itu.

Mohd Sharim meraih 13,872 undi, manakala calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli masing-masing memperoleh 1,222 dan 137 undi.

Beliau pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberikan sokongan kepadanya sehingga menang besar dalam PRK itu dengan majoriti 12,650 undi yang diakui melebihi jangkaan.

Jumlah itu, katanya tidak boleh dicapai sekiranya pengundi luar tidak pulang menunaikan kewajipan mereka, menyebabkan beliau secara peribadi amat terharu dengan sokongan terbabit.

Selain pengundi, Mohd Sharim terhutang budi dengan jerit perih jentera PRK bukan hanya membabitkan BN, tetapi juga PAS dalam kerjasama Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional.

“Mereka bertungkus-lumus dalam tempoh dua minggu ini untuk memastikan kemenangan BN. Walaupun hanya dicabar calon Bebas, kami sentiasa berpegang kepada pesanan pimpinan atasan parti supaya tidak alpa atau memandang ringan terhadap kemampuan mereka.

“Semangat muafakat semua membuahkan hasil malam ini apabila BN memperoleh kemenangan dengan majoriti yang sangat besar dan ini membuktikan tiada yang mustahil jika kami semua bekerjasama,” katanya.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur