MH Online

Laman Suara Rakyat

Segerakan RCI Tabung Haji

Segerakan RCI Tabung Haji

KUALA LUMPUR, Pemuda UMNO menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penubuhan RCI itu penting bagi mencari kebenaran di sebalik pelbagai urusan TH yang diputuskan ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.

Walaupun RCI terhadap TH bukan sebahagian daripada janji Perikatan Nasional (PN), rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus terhadap pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan PH sebelum ini.

“Antara perkara yang perlu disiasat termasuk keputusan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang didakwa meluluskan Hak Perlucutan Pertama (First Right of Refusal) terhadap pembelian semula 18 aset hartanah TH yang dipindahkan ke Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB),” katanya dalam satu kenyataan, pada isnin.

Kelmarin, Mujahid dilaporkan sebagai berkata, beliau sedia disiasat di bawah RCI, sambil mendakwa mempunyai dokumen atas usaha yang dilakukan tanpa ada kepentingan atau campur tangan politik.

Asyraf Wajdi berkata, antara isu yang perlu juga disiasat RCI ialah dakwaan berlaku jualan lambak 76.2 peratus ladang milik TH Plantations berkeluasan 101,000 hektar yang kini tinggal 24,000 hektar.

“Ini tidak termasuk aset lain TH bernilai RM10 bilion yang terjual kepada UJSB seperti tanah di Tun Razak Exchange (TRX) bernilai RM400 juta dan hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini menyumbang kepada perolehan TH,” katanya.

Kecemerlangan TH sebelum ini bukan saja diiktiraf dunia, malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus secara purata tidak kurang daripada 6.25 peratus selepas ditolak zakat 2.5 peratus.

Katanya, sebelum PH mentadbir, TH tidak pernah gagal merealisasikan matlamat penubuhannya yang bukan saja menguruskan segala perkara berkaitan ibadah haji dan jemaah, tetapi menjana ekonomi umat Islam.

“Sebab itulah, apabila wujud secara tiba-tiba pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal dan defisit pada TH selepas PH mentadbir, ia mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan,” katanya.