MH Online

Laman Suara Rakyat

Segerakan PRU-15 – Pemuda UMNO

Segerakan PRU-15 - Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disifatkan sebagai medan terbaik untuk merungkai kemelut politik yang dilihat tiada penghujungnya, meskipun wabak COVID-19 belum berakhir.

EXCO Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, yang mengutarakan pendirian itu berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini wajar dijadikan contoh dan medan operasi untuk panduan menjelang PRU-15.

Katanya, percaturan sedemikian adalah yang terbaik walaupun ia tidak dinafikan pahit untuk dilaksanakan tatkala perang menentang COVID-19 masih giat dijalankan.

“Demi menarik semula minat pelabur asing, melihat sikap segelintir ahli politik yang terus menerus ‘tawar menawar’ Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kedudukan kerusi Parlimen yang tidak kukuh, saya yakin dan percaya serta bersama-sama rakyat, mengharapkan supaya PRU dapat disegerakan.

“Selepas PRU nanti, saya mengharapkan tiada lagi perangai-perangai ahli politik yang tidak disenangi rakyat dan rakyat perlu menilai dan pilihlah calon serta parti yang dapat membawa mandat rakyat keseluruhan.

“Hal ini supaya kebajikan rakyat terbela, ekonomi negara diperkukuh, kestabilan politik dapat dicapai dan kemakmuran negara terus dikecapi selamanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak seminggu lalu, khabar mengenai keputusan mengadakan PRU-15 sebagai jalan terakhir untuk meredakan suhu politik di Malaysia, sekali gus mengakhiri pertikaian kuasa antara beberapa pemimpin utama semakin bertiup kencang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa, turut dilaporkan mengakui bahawa mesyuarat malam tadi membincangkan soal PRU-15 secara mengejut, tetapi ia tidak diperhalusi secara khusus.

Sehubungan itu, Muhammad Muqharabbin yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai menyuarakan harapan supaya kerajaan berupaya mengambil pandangan untuk mengadakan PRU-15 dalam tempoh terdekat.

“Langkah ini supaya rakyat tidak lagi diperkotak-katikkan dan kami sudah menyampah dengan politik ‘jual beli’ Ahli Parlimen.

“Janganlah hanya retorik kekal berprinsip semata-mata mengejar kuasa yang hilang, hanya untuk menyelamatkan diri sendiri,” katanya.