Anda di sini!
Utama > Hiburan > ‘Sebenarnya Saya Pakai Singlet’

‘Sebenarnya Saya Pakai Singlet’

“Saya sebenarnya memakai ‘singlet’. Cuma, ada beberapa pos memperlihatkan saya menurunkan tali baju dalam, seperti berkemban,” kata pelakon, Dayana Roza, ketika mengulas gambar seksinya untuk kempen sebuah produk penjagaan diri.

Kata bintang Asam Pedas Untuk Dia itu, gambar berkenaan juga dirakam dari jarak dekat, yang menampakkan dirinya seperti tidak mengenakan pakaian.

“Saya tidak tertekan dengan isu ini. Ia juga bukan kontroversi pertama saya hadapi. Cuma, ramai yang cepat memberikan pandangan tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Saya rasa, ia juga takkan menjadi isu jika saya tiada sewaktu perbincangan mengenai kempen produk berkenaan diadakan, ataupun model profesional yang menjayakan kempen itu.

“Namun, saya yang akhirnya diminta menjadi model bidan terjun bagi produk saya usahakan bersama rakan kongsi, sejak Mac lalu itu,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem Kron, di sini.

Baru-baru ini, gambar seksi pelakon yang memegang watak Suri dalam karya arahan Opie Zami, yang kelihatan seperti tidak berbaju, menjadi bualan warganet.

Jelas Dayana, kempen itu memerlukan dirinya tampil dengan konsep minimalis dan ringkas seperti iklan antarabangsa.

“Saya tahu, sebagai manusia kita ada batasannya. Saya juga faham perkara ini sensitif bagi sesetengah anggota masyarakat.

“Saya sendiri tiada niat untuk mencetuskan kontroversi. Malah, sepanjang tahun ini nama saya bersih daripada cerita panas,” katanya yang memilih untuk tidak memadamkan perkongsian foto terbabit di laman sosial.

Sementara itu, menyentuh mengenai filem terbabit, Dayana berkata, Kron yang akan menemui penonton mulai 22 Ogos ini sudah tiga tahun diperam.

“Saya bagaimanapun teruja kerana inilah kali pertama dapat bergandingan dengan aktor berbakat, Zahiril Adzim. Saya juga gembira apabila diberikan peluang berlakon di sisi bintang berpengalaman, Aman Graseka,” katanya.

Leave a Reply

Top