Anda di sini!
Utama > Sukan > Schalke 04 Mara Ke Suku Akhir Piala Jerman

Schalke 04 Mara Ke Suku Akhir Piala Jerman

Jaringan tunggal hasil tandukan Max Meyer sudah cukup memastikan Schalke 04 mara ke pusingan suku akhir Piala Jerman selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Cologne, sebentar tadi.

Begitupun, pasukan yang berada di tangga kedua saingan Bundesliga itu terpaksa menunggu hingga minit ke-31 untuk meraih percubaan tepat pertama ke arah gawang lawan sebelum Meyer muncul wira pasukan menerusi tandukan lambung menewaskan penjaga gol, Timo Horn pada minit ke-63.

Gol pertama itu nyata menaikkan motivasi pasukan tuan rumah apabila hampir menambah gol kedua, namun ketangkasan Horn berjaya menyekat hajat Schalke untuk berpesta gol.

Dalam aksi lain, Mainz 05 turut menempah tiket ke peringkat lapan terbaik apabila mudah menundukkan VfB Stuttgart, 3-1.

Sementara itu, keputusan paling mengejutkan hadir menerusi kemenangan dramatik kelab divisyen tiga, Paderborn yang menewaskan Ingolstadt dari divisyen dua, 1-0 sekali gus penampilan pertama di pusingan suku akhir itu nanti.

Juara bertahan, Borussia Dortmund pula dijadualkan bertandang ke Bayern Munich yang dilabel sebagai pertembungan tumpuan terbesar dalam saingan format kalah mati itu musim ini. – Reuters

Leave a Reply

Top