Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang menyediakan rangka kerja mata wang kripto dan berharap ia dapat dilancarkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pengerusi, Tan Sri Ranjit Ajit Singh berkata SC bekerjasama dengan Bank Negara dan meneliti aspek berkenaan secara berhati-hati supaya rangka kerja yang tepat dapat diterima pakai.

“Terdapat pendirian berbeza yang diambil pelbagai pengawal selia di seluruh dunia berkaitan dagangan dalam mata wang kripto, oleh itu kita mahu memastikan semua perkembangan tersebut turut diambil kira,” katanya kepada pemberita semasa Persidangan Kewangan Digital SCxSC 2017 di sini, hari ini.

Beliau berkata, SC juga sedia maklum mengenai minat pelabur tempatan dalam dagangan mata wang kripto dan aset digital yang semakin meningkat.

“Oleh itu, SC akan mengkaji semula peraturan dan garis panduan berkaitan untuk memudahkan buktifungsi kerja dan keberkesanan aset digital dalam pasaran modal termasuk dagangan pasaran sekunder bagi mata wang kripto dan aset digital yang diwujudkan,” katanya.

Ranjit berkata beberapa bursa, yang ketika ini beroperasi dalam ruang dagangan mata wang kripto, telah berbincang dengan SC, dan sebaik sahaja rangka kerja itu dilancarkan, suruhanjaya itu akan melihat pihak mana dalam kalangan mereka yang berdaftar.

Mengenai ‘Bond+Sukuk Information Exchange’ (BIX) yang dilancarkan hari ini, beliau berkata, platform itu akan menjadi kemudahan untuk awam serta satu komponen asas bagi infrastruktur pasaran bon dan sukuk keseluruhan.

“Ia adalah satu-satunya seumpama itu yang menggabungkan harga bon dan sukuk serta maklumat kredit dengan fungsi carian yang canggih selain kaedah berguna lain bagi membantu pelabur membuat keputusan pelaburan berkesan.

“Selaras dengan itu, SC akan meliberalisasikan peraturannya untuk membolehkan akses runcit yang lebih luas dalam pasaran bon dan sukuk korporat menjelang suku pertama 2018, yang melibatkan kajian semula ke atas proses terbitan pasaran utama dan keperluan pendedahan, di samping memperluaskan rangkaian bon dan sukuk korporat yang ditawarkan untuk pelabur runcit,” katanya.

Persidangan Kewangan Digital SCxSC 2017 selama dua hari bertema ‘Pendemokrasian Pelaburan’ itu dianjurkan SC dan dihadiri lebih 1,500 peserta.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *