Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Saya Tidak Terlibat Dalam Rundingan Tajaan – Annuar Musa

Saya Tidak Terlibat Dalam Rundingan Tajaan – Annuar Musa

Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak terbabit dalam proses rundingan pakej komersial Pelaburan MARA Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk syarikat The Red Warriors Sdn Bhd (TRW) yang menguruskan pengiklanan pasukan bola sepak Kelantan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang ‘diarahkan bercuti’ daripada tugasnya berkata, proses rundingan itu hanya berlaku di peringkat pengurusan PMB dan UniKL tanpa campur tangan beliau.

“Saya tidak pernah suruh dalam MARA khasnya PMB untuk menaja atau mengiklan dengan TRW menggunakan bajet penjenamaan dan pemasaran mereka.

“Saya juga tidak terbabit dalam proses memutuskan, rundingan atau mengarah, jauh sekali menggunakan dana pendidikan MARA untuk membeli pakej komersial berkenaan.

“Ini fitnah totok apabila ada pihak mendakwa saya menggunakan dana pendidikan MARA untuk menaja pasukan TRW,” katanya dalam sidang media selepas memberi keterangan kepada Audit Dalaman MARA di sini, hari ini.

Audit Dalaman MARA dipengerusikan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin dan dihadiri dua Ahli Majlis MARA iaitu Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Datuk Ariss Shamsudin serta wakil Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Kewangan.

Annuar dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam aspek tajaan MARA kepada pasukan bola sepak Kelantan.

Pada 31 Januari lalu, Annuar diarahkan bercuti sementara sebagai Pengerusi MARA dan PMB berhubung isu berkenaan.

Sebelum ini, Annuar turut dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilantik sebagai Pengerusi MARA sejak 19 Julai 2003.

Sementara itu katanya, beliau memberi penerangan menyeluruh selama sejam berhubung kekeliruan yang timbul dalam isu berkenaan kepada Audit Dalaman MARA.

Katanya, antara isu yang beliau perjelaskan ialah jumlah bayaran pakej komersial ditawarkan TRW kepada PMB berjumlah RM200,000, yang jauh lebih rendah berbanding pakej asal mencecah lebih RM1 juta.

“Saya terangkan dan mereka terima penjelasan saya. Saya tidak berkompromi dalam hal penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah. Saya juga tidak akan bawa ke mahkamah pihak yang mendakwa saya salah guna dana MARA.

“Saya juga tidak terasa hati dengan mereka (Ahli Audit Dalaman MARA) yang bertanya kerana ini bukan soal peribadi tetapi integriti MARA. Harap siasatan ini selesai dan terpulang kepada pengurusan MARA menentukannya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jawatannya, Annuar berkata, beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada pengurusan MARA untuk menentukannya.

Leave a Reply

Top