Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Saya Tidak Tahu’

‘Saya Tidak Tahu’

KUALA LUMPUR, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak dimaklumkan mengenai peletakan jawatan Peguam Negara, Tommy Thomas seperti yang tular di media sosial.

Perdana Menteri sebaliknya dengan ringkas berkata: “Terima kasih memaklumkannya kepada saya. Saya tidak tahu”.

Sebuah portal berita hari ini memetik sumber pegawai kerajaan bahawa Tommy dilaporkan meletak jawatan sebagai Peguam Negara selepas tiga bulan dilantik kerajaan menyandang tugas tertinggi dalam badan perundangan Malaysia.

Bagaimanapun, portal berita itu menurunkan penerbitan artikel berkenaan di web rasminya selepas mendakwa sumber pegawai kerajaan terbabit menarik balik pengesahan isu peletakan jawatan Tommy.

Mengulas pelbagai kritikan dilemparkan terhadap Tommy, Dr Mahathir berkata, kerajaan terdahulu diterajui Barisan Nasional (BN) mendalangi banyak gerakan untuk menjadikan pembangkang sebagai mangsa keadaan.

Katanya, antara mangsa perbuatan jahat itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang kini menyandang jawatan Menteri Kewangan pasca kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Ramai orang sebenarnya melakukan apa yang Guan Eng buat tetapi mereka tidak dijadikan sasaran. Mereka (kerajaan terdahulu) pilih Guan Eng kerana ada motif tertentu.

“Mereka nak singkirkan beliau. Kes ini tidak sama dengan (bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad) Khir Toyo,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, kes membabitkan seorang lelaki dijatuhkan hukuman mati kerana memiliki, memproses dan mengedarkan ganja untuk tujuan perubatan wajar diteliti semula.

Beliau mengulas kes Muhammad Lukman Mohamad, iaitu seorang bapa berusia 29 tahun yang ditahan bersama isterinya yang sedang hamil dalam satu serbuan di rumahnya pada Disember 2015.

Dia didapati memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocan nabinol (THC).

Pada 30 Ogos lalu, Lukman dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Kes itu menjadi tular di laman sosial dan mendapat perhatian netizen kerana Lukman dikatakan menggunakan ganja dalam bentuk minyak untuk tujuan perubatan.

Berdasarkan laporan media, Lukman telah memberikan rawatan alternatif itu kepada tidak kurang daripada 800 pesakit.

Leave a Reply

Top