Pelakon Neelofa tidak berkecil hati apabila ada di antara peserta program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) menjadikan kisah cintanya dengan aktor Fattah Amin sebagai bahan lawak.

Neelofa sebaliknya berkata, dia sudah terbiasa dengan situasi berkenaan dan tidak mengambil serius dengan apa yang diperkatakan tentang dirinya atau pun Fattah.

“Saya tak terasa pun apabila ada yang cuba menjadikan saya dan Fattah sebagai bahan jenaka mereka.

“Selain sudah biasa dengan situasi itu saya juga tidak mengambil serius terhadap apa yang diperkatakan,” katanya kepada media.

Neelofa ditemui pada majlis sidang media pelantikannya sebagai duta jam tangan jenama Titan di sini, Khamis.

Dalam pada itu, Neelofa lega peminat mula memahami situasinya selepas secara terbuka memberitahu berasa tertekan sering menerima kritikan di laman sosial berhubung hubungannya dengan Fattah yang mendapat perhatian meluas.

Neelofa berkata, sejak luahannya itu dia melihat banyak perubahan malah banyak menerima kata-kata semangat daripada peminat di laman sosialnya.

“Alhamdulillah sejak saya meluahkan apa yang terbuku di hati nampak banyak perubahan.

“Pengikut di laman sosial dan peminat mula memberikan kata-kata positif dan saya terharu kerana mereka sebenarnya mengambil berat terhadap diri saya.

“Saya hargai semua perkara yang mereka lakukan untuk saya dan saya juga sentiasa mengambil berat terhadap peminat saya,” katanya.

Neelofa sebelum ini merayu agar diberikan ruang kerana sering menerima kritikan hebat di laman sosial disebabkan hubungannya dengan Fattah.

Malah kata Neelofa, hentaman dan kritikan diterimanya sedikit sebanyak menghancurkan hatinya sebagai seorang manusia biasa.

Bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta Titan, Neelofa berkata, dia tertarik bukan sahaja kerana ia adalah antara jenama terkenal di dunia malah akan diberi peluang untuk mereka jam tangan bawah label itu pada masa hadapan.

“Saya tidak melihat pelantikan saya hanya sebagai duta tetapi pelbagai benda yang boleh kami lakukan malah saya akan diberi peluang untuk mereka jam tangan pada masa hadapan.

“Saya juga ada perniagaan sendiri dan Insya-Allah mana tahu kami dapat sama-sama berkolaborasi bersama Naelofar Hijab,” katanya.

 

Dalam perkembangan sama, Ketua Unit Perniagaan Bahagian Antarabangsa Titan, Vijesh Rajan pula memberitahu Neelofa merupakanh duta produk berhijab pertama yang pernah dilantik mewakili produk berkenaan.

Jelas Vijesh, personaliti Neelofa yang mempunyai penampilan tersendiri membuatkan mereka tertarik melantiknya sebagai duta jam tangan itu.

“Ini merupakan kali pertama kami melantik selebriti untuk mewakili Titan di Malaysia dan soal hijab ia adalah sebahagian daripada imej dirinya. Itu keistimewaan Neelofa.

“Dia mempunyai pengikut tersendiri dan personalitinya membuatkan kami tertarik.

“Neelofa akan terlibat dalam kempen kami secara digital malah peminat boleh menantikan koleksi pilihan istimewanya seperti Raga, Edge, Neo dan Purple tidak lama lagi,” jelasnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *