Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman terguris hati dengan kenyataan pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran yang menyifatkan hasratnya untuk membeli saham syarikat itu sekadar untuk meraih populariti.

Namun, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida berkata, beliau bagaimanapun enggan mengeruhkan lagi keadaan dan memahami perasaan Ravi kerana pernah melalui saat-saat sukar seperti itu.

“Saya terguris hati di atas kenyataan itu. Tapi saya faham mungkin beliau cakap begitu kerana tertekan dengan masalah yang timbul.

“Lagipun beliau sering menjadi perhatian media sekarang. Saya faham apa yang beliau rasa kerana saya sendiri pernah berada dalam situasi itu,” katanya pada Sabtu.

Vida berkata, beliau pernah mengalami zaman kejatuhan apabila syarikatnya mengalami kerugian sebanyak RM6 juta pada 2009 apabila iklan produknya tidak memberi pulangan.

“Akibat salah mengiklan, saya alami kerugian kerana produk langsung tidak dapat sambutan. Ini saat paling sukar kerana saya terpaksa bermula dari kosong, hilang segala-galanya.

“Namun berkat doa dan usaha keras, saya kembali bangkit. Oleh sebab itu sekarang apabila saya jadi penaja, saya mahu stesen TV mengikut cara saya,” katanya.

Ditanya sama ada hasratnya itu sekadar ‘gimik’, Vida menafikan perkara itu dan mengakui masih serius untuk memiliki saham Rayani Air kerana melihat syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara tersebut mempunyai potensi besar untuk maju pada masa hadapan.

“Saya dari awal sudah tertarik dengan syarikat ini kerana elemen patuh syariah. Walaupun diterajui orang bukan Islam tetapi Ravi berani mencetuskan pembaharuan di dalam industri penerbangan negara,” katanya.

Menurut Vida beliau bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Ravi pada minggu depan untuk membincangkan dengan lebih terperinci berhubung hasratnya untuk membeli saham syarikat penerbangan itu.

“Saya cuba atur pertemuan dengan beliau dalam minggu depan. Sekarang saya sibuk, ada shooting sana sini dan beberapa komitmen lain.

“Saya pun baru sahaja balik dari Sabah. Saya kena jumpa peguam saya terlebih dahulu, dapatkan pandangan sebelum pertemuan ini diadakan,” katanya.

Sebelum ini, Ravi secara terbuka membidas Vida supaya tidak menggunakan syarikat penerbangannya sekadar untuk meraih populariti.

Kenyataan Ravi itu dibuat selepas jutawan kosmetik tersebut berhasrat membeli saham Rayani Air tetapi enggan menanggung beban hutang syarikat penerbangan tersebut.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *