Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Jumaat menafikan beliau menangguhkan awal sesi perbahasan Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355) semalam kerana agenda politik atau menerima tekanan daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya beliau menegaskan keputusannya itu semata-mata untuk menjaga kebajikan kakitangan Parlimen yang telah tidak tidur semalaman.

Oleh itu, kata Pandikar Amin, beliau telah menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menamatkan sesi Parlimen pada pukul 4 petang berbanding kebiasaan pukul 5.30 petang.

Mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen Ke-13 itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila bersidang hampir 20 jam bermula pada 10 pagi kelmarin (Rabu) hingga 5.05 pagi semalam (Khamis).

Ditanya kenapa beliau membenarkan persidangan berlangsung sehingga 20 jam, Pandikar Amin yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama Seminar Serantau Anggota Parlimen Wanita Komanwel Asia Tenggara di Parlimen berkata:

“Ia adalah kehendak kerajaan untuk menamatkan rang undang-undang yang mereka mahu tamatkan, ia bukan kehendak saya…terpaksa…pegawai saya dan saya satu malam tak tidur.”

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *