Anda di sini!
Utama > Hiburan > ‘Saya Tak Mampu Puaskan Hati Semua Orang’

‘Saya Tak Mampu Puaskan Hati Semua Orang’

Pelakon Emma Maembong yang berkesempatan menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah, baru-baru ini memohon orang ramai supaya memberinya ruang untuk memperbaiki diri.

Emma, 27, akur peminat meletak harapan yang tinggi untuk melihatnya berubah, namun dirinya masih belum berupaya memenuhi permintaan mereka.

“Saya tahu, di luar sana ramai yang mahu saya mengikut kehendak mereka supaya berubah dan kembali bertudung. Saya berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang terbaik.

“Namun, jangan pula saya dikecam apabila masih belum dapat memenuhi harapan dan permintaan mereka. Saya tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

“Saya sedang berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik dari masa ke semasa. Usahlah mengecam, sebaliknya berikan sokongan dan sebarkan aura positif antara satu sama lain,” katanya.

Emma yang ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-27 anjuran kelab peminatnya, The Nizers berkata, dia bersyukur hasrat untuk ke Tanah Suci Makkah menjadi kenyataan.

Hampir empat tahun menyimpan impian, pelakon Kimchi Untuk Awak itu berkata, dia ke sana ditemani bapa dan kakaknya.

“Alhamdulillah, selepas empat tahun, segala perancangan saya ke Tanah Suci Makkah dipermudahkan. Biarpun ada yang meragui niat saya dan bimbang jika belum bersedia, namun saya tetapkan juga hati ke sana,” katanya.

Emma atau nama penuhnya, Fatimah Rohani Ismail berkata, hatinya sebak melihat kesungguhan insan yang tidak berdaya, namun bersungguh-sungguh berusaha mencari keredaan Ilahi di sana.

“Saya berharap, mereka yang berkemampuan dan mempunyai kudrat supaya tidak menangguhkan hasrat ke Tanah Suci. Selagi diberikan Allah tubuh badan yang kuat dan sihat, jangan lepaskan peluang itu.

“Saya ada mendengar pengalaman rakan yang diuji ketika di sana. Saya hanya berdoa dan memohon kepada Allah supaya segala urusan dipermudahkan.

“Saya turut berdoa supaya ayah diberikan kesihatan yang baik supaya dapat menyempurnakan semua tuntutan di sana,” katanya yang turut berpeluang meraikan hari ulang tahun kelahirannya di Tanah Suci.

Leave a Reply

Top