MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Saya Mohon Maaf’

'Saya Mohon Maaf'

KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin memohon maaf di Dewan Negara kerana menimbulkan kekeliruan berhubung masalah capaian internet yang dihadapi penuntut Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin.

“Saya ingin memohon maaf, dengan keizinan Yang Dipertua, saya ingin membuat permohonan itu di dewan mulia ini kerana menimbulkan kekeliruan dalam hal adik Veveonah. Maaf juga kerana maklumat daripada wakil rakyat kawasan menyebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

“Mungkin pendapat saya telah disalah tafsir. Di daerah dan Pekan Pitas terdapat liputan dan pusat internet, namun ia perlu ditambah baik secara keseluruhan,” katanya sebelum memulakan sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Negara di sini, semalam.

Beliau berkata isu yang diluahkan oleh Veveonah adalah kelemahan liputan internet di Kampung Sipatalang di Pitas, Sabah yang memerlukan perhatian kerajaan.

Bagaimanapun, sebagai seorang bapa beliau berpendapat tindakan duduk di atas pokok pada waktu malam bagi mendapatkan liputan internet adalah tindakan yang boleh membahayakan keselamatan diri.

“Kalau anak kita pun kita akan nasihat untuk tidak melakukan perkara itu kerana takut tercedera. Tetapi, perjuangan Veveonah untuk menunjukkan bahawa terdapat kekurangan liputan internet di kawasan luar bandar adalah perjuangan yang patut dipuji.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan kerajaan bersetuju bahawa isu ini adalah isu pencapaian internet di pedalaman Sabah yang harus diberi perhatian dan ditangani sebaik mungkin,” katanya.

Senator Alan Ling Sie Kiong yang mengemukakan usul untuk merujuk Zahidi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara dalam sesi persidangan pagi tadi kemudiannya mencelah dan berterima kasih kerana timbalan menteri itu hadir petang ini.

“Saya bersyukur dan terima kasih kerana timbalan menteri telah hadir pada petang ini dan mengambil peluang di dalam dewan yang mulia ini untuk membuat permohonan maaf atas perkara itu. Ini memang kita alu-alukan. Saya tidak mempunyai masalah dengan timbalan menteri,” katanya.

Beliau berkata tindakannya itu dilakukan atas dasar untuk mempertahankan kewibawaan Dewan Negara dan berharap perkara itu tidak berulang.

Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim kemudiannya menzahirkan rasa puas hati dengan kesungguhan serta keikhlasan permohonan maaf yang dilakukan oleh Zahidi, justeru membuat keputusan timbalan menteri itu tidak perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara.

“Melihatkan kesungguhan yang berhormat timbalan menteri untuk tampil bersama-sama mencari yang jernih daripada yang keruh, mencari susunan adab yang lebih teratur, maka beliau wajar diberi peluang untuk menyampaikan kemaafan dalam suasana kita berkeluarga dalam perjuangan membaikkan tanah air.

“Maka apa yang telah timbalan menteri lafazkan (permohonan maaf) sebentar tadi yang secara berterusan secara spontan dan ikhlas harus diterima oleh dewan ini,” katanya.