MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Saya Memang Kecewa’

'Saya Memang Kecewa'

PASIR MAS, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, meluahkan rasa kecewanya susulan kes terbaru anggota dan pegawai polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melindungi pemandu lori lebih muatan.

Beliau berkata, impak buruk akibat rasuah seolah-olah tidak memberi kesan terhadap psikologi pihak yang terbabit dengan gejala itu sedangkan pelbagai amaran dan nasihat sudah diberikan.

Justeru, katanya, beliau mengalu-alukan tindakan SPRM jika ada maklumat berhubung salah laku membabitkan pegawai atau anggota polis.

Namun, beliau berkata, pihaknya belum menerima laporan lengkap mengenai kes 12 pegawai Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Polis Pulau Pinang ditahan SPRM kerana disyaki terbabit rasuah serta direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

“Saya tidak boleh kata apa, kecewa memang kecewa dan yang lebih menyedihkan ialah ahli keluarga terpaksa menanggung kesan sekiranya perbuatan itu dilakukan.

“Apabila tertangkap, tiada lagi sesalan kerana sudah cukup larangan, amaran dan nasihat diberikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Perintah reman terhadap 12 pegawai Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Polis Pulau Pinang terbabit, dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi, pagi tadi.

Mereka direman bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima suapan, mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sumber dilaporkan berkata, pegawai ditahan itu termasuk Superintendan, Asisten Superintendan dan Inspektor.

Difahamkan, kumpulan anggota dan pegawai terbabit disyaki menerima suapan daripada syarikat pengangkutan supaya tidak mengambil tindakan terhadap pelbagai kesalahan dilakukan pemandu lori mereka.

Hasil siasatan mendapati jumlah suapan didakwa dikumpulkan mereka mencecah hingga RM500,000 dan masing-masing menerima antara RM10,000 hingga RM25,000 sebulan.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya akan memberi kerjasama seratus peratus kepada SPRM dalam siasatan kes berkenaan.

“SPRM akan melengkapkan kertas siasatan untuk proses pendakwaan jika bukti mencukupi. Sekiranya tidak cukup standard untuk pendakwaan, mereka akan serahkan kepada polis untuk tindakan disiplin.

“Saya masih tidak berputus asa. Melalui Jabatan Pengurusan, saya akan terus berusaha memberi kesedaran kepada pegawai dan anggota bagi mengelakkan pengambilan rasuah,” katanya.