Anda di sini!
Utama > Hiburan > ‘Saya Anggap Itu Sebagai Doa’

‘Saya Anggap Itu Sebagai Doa’

 Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Titian Cinta itu, Farah Nabilah, terkejut apabila dikatakan bakal menamatkan zaman gadisnya dalam masa terdekat.

Spekulasi itu timbul apabila pelakon berusia 27 tahun itu dikatakan, sudah mengedarkan kad jemputan perkahwinannya, baru-baru ini.

“Saya tidak tahu bagaimana cerita saya bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat boleh timbul. Saya anggap ia sebagai doa daripada mereka yang ingin melihat saya segera bertemu jodoh.

“Jika betul saya mahu berumah tangga, saya tidak akan berahsia. Saya tidak akan sesekali menyembunyikan berita gembira itu daripada peminat.

“Pada usia 27 tahun, sudah tentu saya mempunyai perancangan ke arah itu. Emak pun sudah mula bertanya, bila dia dapat menimang cucu,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama pelakon Kau Yang Pertama, semalam.

Farah bagaimanapun, menegaskan selagi belum ada ikatan yang pasti, dia tidak akan sesekali berkongsi hal peribadi, termasuk identiti jejaka yang bertakhta di sudut hatinya.

Sementara itu, keserasian gandingannya bersama Fikry Ibrahim terbukti apabila peminat meletakkan mereka sebagai finalis kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Mula bergandingan dalam drama, Cik Reen Encik Ngok Ngek, keserasian yang tercipta juga menemukan kembali Farah dan Fikry dalam Kau Yang Pertama yang kini disiarkan menerusi TV3.

Meskipun selesa kerana sudah memahami cara dan rentak masing-masing di lokasi penggambaran, Farah berkata, selepas Kau Yang Pertama, dia dan Fikry sepakat untuk tidak lagi digandingkan, terutama dalam drama rantaian.

“Secara peribadi, saya memang selesa bekerja dengan Fikry kerana kami sudah memahami cara masing-masing di lokasi penggambaran. Tetapi, rasanya cukuplah dahulu dua drama itu.

“Bimbang pula apabila terlalu kerap digandingkan, nanti peminat bosan. Balik-balik muka sama juga yang mereka lihat. Sebagai pelakon, kami juga ingin bekerjasama dengan orang lain.

“Berilah ruang kami kembangkan lagi bakat yang ada. Mungkin selepas setahun atau dua, apabila peminat rindu, baru saya bersedia untuk kembali bergandingan dengan Fikry,” katanya.

Leave a Reply

Top