Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Saya Adalah Ketua Kerajaan Ketika Itu’

‘Saya Adalah Ketua Kerajaan Ketika Itu’

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Najib Razak mengaku terkejut dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sembilan set rakaman percakapan didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Ia susulan sidang media khas diadakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, hari ini, yang turut memperdengarkan klip audio perbualan berkaitan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Antaranya, rakaman percakapan didakwa membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mendedahkan maklumat siasatan mengenai skandal 1MDB kepada Najib pada 2016.

Sehubungan itu, Najib berkata, beliau sedang mengkaji dan merujuk kandungan pendedahan berkenaan dengan peguamnya.

“Saya akan mengkaji dari segi undang-undang dan apa tindakan yang boleh diambil kerana saya adalah ketua kerajaan pada ketika itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa perkara berkenaan tidak pernah dilakukan dalam sejarah negara ini, selain mempersoalkan pendedahan terbabit dibuat ketika menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Terdahulu, Latheefa pada sidang media di Putrajaya berkata, semua rakaman percakapan yang didedahkan SPRM didakwa berlaku pada 2016, dan hasil siasatan setakat ini mendapati ia adalah tulen.

Latheefa berkata, perbincangan antara individu dalam rakaman itu menunjukkan wujud elemen konspirasi jenayah, pecah amanah, salah guna kuasa, pendedahan maklumat sulit kerajaan, cubaan memalsukan bukti dan ancaman keselamatan negara.

Leave a Reply

Top