MH Online

Laman Suara Rakyat

Satu Unit Khas Dicadang Untuk Pantau & Bantu NGO

KOTA KINABALU, Satu unit khas dicadang diwujudkan untuk mengurus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan selain mengiktiraf gerak kerja NGO.

Menteri di JPM, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata cadangan yang dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) itu turut menyertakan satu jumlah peruntukan bagi kewujudan unit itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, ini termasuk menyelia gabungan NGO supaya wujud satu mekanisme untuk mereka berhubung dengan persekutuan.

“Turut dicadangkan, mekanisme menyalurkan bantuan serta mengiktiraf gerak kerja NGO supaya diatur dengan jelas dan berkesan demi kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas Program Beramah Mesra bersama Pertubuhan Badan Amal Tarbiah Sejagat (BATAS) Sabah, di sini, malam tadi.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN dan penyandang Ahli Parlimen Kota Belud berkata, penubuhan unit itu diperlukan untuk membantu kerajaan membuat sesuatu dasar yang sesuai.

“Kebanyakan NGO berdasarkan latar belakang mereka. Contohnya, NGO berkaitan alam sekitar, mereka akan berasaskan kementerian ada kaitan alam sekitar. Begitu juga NGO berlatarbelakangkan agama, mereka berasaskan kepada kementerian menjaga hal ehwal agama.

“Jadi, keadaan ini bercelaru sedikit dan jika dipantau, kita tahu hala tuju mereka dan apa yang perlu dibantu di peringkat akar umbi,” katanya.

Terdahulu, BATAS antara badan yang menyokong kerajaan dan mempunyai seramai 20,000 ahli yang aktif di seluruh Sabah.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman menyifatkan slogan ‘Sabah untuk Sabahan’ yang dilaungkan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebagai sempit kerana hanya `memandang ke dalam’, sehingga tidak tahu dunia di luar terlalu luas untuk maju bersama.

Katanya, sebaliknya slogan ‘Sabah untuk Malaysia’ adalah amat efektif untuk menjadikan Sabah mempunyai kuasa mempertahankan hak Sabah.

“Sabah mempunyai enam menteri dan itu Sabah untuk Malaysia. Kita mahu jadi pemimpin di peringkat persekutuan supaya kita dapat mempengaruhi dasar kerajaan.

“Apabila kita kuat secara politik, Sabah untuk Malaysia ini adalah satu slogan yang amat efektif. Maknanya apabila kita menang dengan kuat, Sabah akan jadi kuasa politik yang kuat. Sebab itu slogan ini yang lebih tepat,” katanya.

Beliau berkata, WARISAN juga tiada kredibiliti menggunakan ungkapan itu, yang ideanya sudah digunakan oleh pelbagai parti lain sejak dahulu lagi.