Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Satu Kesilapan Biarkan Assad Terus Berkuasa

Satu Kesilapan Biarkan Assad Terus Berkuasa

Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata semalam, situasi ‘kembali normal’ di Syria yang menyebabkan pemimpinnya Bashar al-Assad berkuasa adalah satu ‘kesilapan besar,’ dalam ulasan dilihat ditujukan kepada rakan sejawatannya Vladimir Putin.

“Kita boleh melihat siapa yang suka keadaan kembali seperti biasa sebaik perang menentang Daesh tamat: Bashar al-Assad kekal berkuasa, pelarian akan kembali manakala Eropah dan beberapa negara lain akan membantu pembinaan semula.

“Namun senario seperti itu adalah satu kesilapan besar,” kata Macron.

Selepas mengambil alih pentadbiran pada Mei tahun lalu, Macron beralih ke arah dasar Perancis yang mengutamakan kemusnahan kumpulan Daesh berbanding menyingkirkan Assad.

Beliau sebelum ini menggelar pemimpin Syria itu seorang ‘musuh rakyat Syria’ yang pada akhirnya wajar dihadapkan di mahkamah perang.

Ulasan terbaharu Macron ketika ucapan dasar luar penting kepada Duta Perancis jelas satu kritikan terhadap Putin, penyokong kuat Assad.

Pada 18 Ogos lalu, Putin menggesa Eropah menyumbang dari segi kewangan terhadap pembinaan semula Syria bagi membolehkan jutaan pelarian pulang ke tanah air.

Selepas lebih tujuh tahun perang kejam, Macron memberi amaran dalam satu ucapan semalam, Assad berada di ambang mewujudkan krisis kemanusiaan baharu di wilayah Idlib.

“Sejak hari pertama, saya menganggap Daesh menjadi musuh utama kami dan saya tidak pernah menjadikan penyingkiran Bashar al-Assad satu syarat terhadap tindakan diplomatik atau kemanusiaan di Syria,” kata Macron yang menuduh Assad ‘menghasilkan ribuan pelarian’ dan ‘membunuh rakyatnya sendiri.’ -AFP

Leave a Reply

Top