MH Online

Laman Suara Rakyat

Sarawak Tidak Adakan PRN Ketika Covid 19

Sarawak Tidak Adakan PRN Ketika Covid 19

KOTA SAMARAHAN, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, mengulangi pendiriannya untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak ketika pandemik COVID-19 masih membelenggu negara.

Abang Johari berkata, beliau sudah meminta nasihat pakar termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai langkah perlu untuk mengadakan pilihan raya ketika ketika wabak itu belum reda sepenuhnya.

Malah katanya, beliau sudah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai untuk melaksanakan proses demokrasi itu.

“Tetapi sekarang kami belum menerima maklum balas daripada pihak terbabit berhubung langkah perlu untuk menghindarkan wabak menular mendadak serta SOP perlu untuk memastikan kelancaran pilihan raya dalam keadaan wabak masih membelenggu kita.

“Sekarang di Sarawak, jumlah positif COVID-19 meningkat semula, malah Kuching sudah menjadi Zon Merah,” katanya kepada media selepas Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Samarahan di Dewan Suarah, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Abang Johari menjelaskan sejumlah RM337 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek membina jalan raya di kawasan Samarahan dan RM221 juta bagi melaksanakan projek rakyat di kawasan terbabit.

Selain itu katanya, sejumlah RM1.5 bilion diperuntukkan kepada Agensi Pembangunan Bersepadu Samarahan (ISDA) dengan 519 projek sudah dilaksanakan di wilayah pembangunan ekonomi itu.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, berikutan situasi wabak masih membimbangkan, beliau tidak mahu terburu-buru untuk mengadakan PRN-12 Sarawak dalam tempoh terdekat, meskipun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu lalu menegaskan pilihan raya negeri Sarawak tidak boleh dielakkan.

“Ya…memang tidak boleh dielakkan, tetapi kita tidak tahu bila akan melakukannya kerana yang paling utama sekarang ialah keselamatan kesihatan rakyat.

“Kami dalam kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan untuk mencari masa yang terbaik (untuk mengadakan PRN-12),” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan tamat tempoh pada 6 Jun tahun depan, namun mengikut Perlembagaan negeri, pilihan raya boleh diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu yang bermakna paling lewat ia boleh diadakan pada awal Ogos tahun depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam kenyataan media hari ini, berkata pihaknya belum memutuskan tarikh untuk mengadakan PRN-12.

“Setakat ini tidak ada mesyuarat Majlis Tertinggi GPS untuk membincangkan PRN-12. Kerajaan GPS sangat prihatin terhadap lonjakan jangkitan COVID-19 ketika ini dan dengan serius mempertimbangkan bahaya wabak itu terhadap keselamatan dan nyawa rakyat Sarawak,” katanya.