Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Sarawak Tetap Mahu PETRONAS Bayar Cukai Jualan

Sarawak Tetap Mahu PETRONAS Bayar Cukai Jualan

KUCHING, Kerajaan Sarawak menolak tawaran bayaran oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) baru-baru ini yang disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Malah, tawaran dikemukakan juga jelas memperlihatkan entiti minyak dan gas negara itu cuba mengelak membayar cukai jualan hasil petroleum sebanyak lima peratus yang ditetapkan kerajaan negeri.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata PETRONAS melalui Kerajaan Persekutuan sebelum ini menawarkan bayaran ihsan sebanyak tiga peratus kepada Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, tawaran itu bersyarat iaitu kerajaan negeri perlu menggugurkan tuntutan cukai jualan dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58).

“Ini kita tidak boleh terima kerana PETRONAS perlu membayar cukai jualan lima peratus itu,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Hasidah berkata, sebagai tindak balas kepada tawaran berkenaan, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan bagi menyatakan pendirian tegas kerajaan negeri berhubung perkara itu.

“Kerajaan Sarawak tetap dengan pendirian mengenakan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum yang dieksport dari Sarawak kerana ini adalah hak termaktub dalam Perlembagaan Sarawak.

“Kita juga menuntut SST yang sudah dikenakan ke atas gas asli cecair (LNG), minyak mentah dan kondensat yang dieksport dari Sarawak dibayar untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersedia mengurangkan kadar SST dengan syarat pampasan harus diberikan oleh PETRONAS atau Kerajaan Persekutuan bagi menampung sebatang kekurangan yang akan dialami kerajaan negeri.

“Pada masa yang sama, ‘zero-rated SST’ yang dicadangkan oleh PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh dipertimbangkan sama sekali.

“Sebenarnya, PETRONAS sudah diberikan notis penilaian untuk membayar RM1.2 bilion nilai SST bagi separuh pertama tahun ini menjelang September dan jika mereka gagal membayar, kita boleh mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Leave a Reply

Top