MH Online

Laman Suara Rakyat

Sarawak Terima Bayaran Penuh Cukai Jualan Dari PETRONAS

Sarawak Terima Bayaran Penuh Cukai Jualan Dari PETRONAS

KUCHING, Kerajaan negeri Sarawak sudah menerima pembayaran penuh cukai jualan negeri (SST) sebanyak 5.0 peratus produk petroleum negeri untuk 2019 daripada PETRONAS, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, PETRONAS dan anak syarikatnya telah melunaskan bayaran penuh SST terhadap produk petroleum bagi 2019 yang dinilai oleh Pengawal Selia SST seiring dengan peruntukan Ordinan Cukai Jualan negeri Sarawak,1998.

Abang Johari berkata, jumlah yang dibayar oleh PETRONAS dan anak syarikatnya adalah tanpa faedah dan penalti kerana Petronas telah mematuhi notis yang dikeluarkan kepadanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pengerusi PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh menyampaikan cek bernilai RM2,956,671,407.36 kepadanya dalam satu majlis yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Abang Johari berkata, SST untuk tahun ini akan dibayar setelah penilaian dibuat berdasarkan jumlah produk petroleum, iaitu minyak mentah, kondensat, urea dan gas petroleum cecair yang telah dijual.

“Pembayaran SST oleh PETRONAS dan anak syarikatnya adalah hasil daripada penyelesaian dicapai antara PETRONAS, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Ini bermakna PETRONAS, selepas mencapai kesepakatan akan menarik balik rayuan semakan kehakimannya kepada Mahkamah Rayuan dan seterusnya mengiktiraf kuasa perlembagaan negara untuk mengenakan cukai. Kes-kes sivil oleh kerajaan negeri terhadap PETRONAS juga ditarik balik.

“Setelah penyelesaian proses perundangan ini, PETRONAS dan anak syarikatnya telah mendaftar sebagai ‘individu yang perlu dikenakan cukai’ dan menyerahkan penyata mereka kepada Pengawal Selia SST,” katanya.

Pengawal Selia SST telah membuat penilaian cukai yang harus dibayar, PETRONAS dan anak syarikatnya diberi notis yang relevan berdasarkan Ordinan pada 10 September tahun ini.

“Kerajaan negeri juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Shell, Murphy Oil, Pertamina dan Sapura OMV yang sebelumnya telah mematuhi dan melunaskan cukai yang dikenakan kepada Sarawak,” katanya sambil menambah bahawa cukai penjualan yang dikutip dari syarikat minyak lain berjumlah RM1.38 bilion.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri kini akan menumpukan perhatian terhadap perbincangan dengan kerajaan persekutuan untuk mencapai penyelesaian komersial mengenai perkara lain yang berkaitan dengan minyak dan gas yang ditemui dan dihasilkan di Sarawak.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.