KUCHING, Sumbangan Sarawak terhadap sektor pertanian negara telah mencatatkan peningkatan ketara apabila menduduki tempat teratas dalam kalangan negeri pada 2016 daripada tempat ketiga pada 2010, Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sumbangan negeri itu meningkat daripada RM11.8 bilion atau 14.3 peratus pada 2010 kepada RM14.7 bilion atau 16.8 peratus pada 2016.

Pada sesi penggulungan perbahasan bagi kementerian itu untuk Bajet Negeri 2018, beliau juga berkata sektor pertanian negeri menyumbang 13.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2016 dengan tanaman menyumbang 68.1 peratus; ternakan 4.5 peratus; perikanan 5 peratus dan perhutanan serta pembalakan 22.4 peratus.

“Pertumbuhan dalam subsektor tanaman banyak bergantung pada komoditi khususnya kepala sawit, getah, lada hitam dan sagu, manakala ayam dan khinzir adalah penyumbang utama pertumbuhan bagi susektor ternakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pertumbuhan pertanian di negeri ini secara keseluruhannya mencatatkan penurunan, daripada 2 peratus pada 2015 kepada negatif 2.5 peratus pada 2016. Ini berpunca daripada penurunan pengeluaran minyak sawit mentah, daripada 3.5 juta tan kepada 2.5 juta tan dan minyak isirong kelapa sawit daripada 0.7 juta tan kepada 0.5 juta tan disebalik berlaku sedikit peningkatan harga eksport minyak kelapa sawit mentah daripada RM2,500 satu tan kepada RM2,956.

“Keadaan itu bagaimanapun dijangka bertambah baik pada 2017 dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 1.9 peratus. Ini berdasarkan peningkatan dalam pengeluaran minyak kelapa sawit mentah dan minyak isirong kelapa sawit pada separuh pertama 2017,” katanya.

Katanya pengeluaran minyak kelapa sawit mentah meningkat daripada 1.5 juta tan pada separuh pertama 2016 kepada 2.6 juta tan bagi tempoh sama pada 2017 manakala pengeluaran minyak isirong kelapa sawit mencatatkan peningkatan daripada 0.4 juta tan kepada 0.5 juta tan bagi tempoh sama.

Uggah berkata satu lagi trend penting dan menggalakkan dalam sektor pertanian negeri adalah imbangan perdagangan pertanian yang positif bagi tempoh 2010 hingga 2016. Lebihan meningkat daripada RM4 bilion pada 2010 kepada RM6.9 bilion pada 2016, telah memberikan impak positif terhadap imbangan perdagangan negeri secara menyeluruh.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah meluluskan RM223 juta bagi pembangunan sektor pertanian dan menurutnya ini akan ditambah dengan pembiayaan kerajaan persekutuan yang akan ditentukan selepas perbincangan dengan kementerian persekutuan yang relevan.

Uggah berkata dalam usaha memperkukuh dan menginstitusikan pasaran produk pertanian di seluruh negeri, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk menyelaraskan semua fungsi dan aktiviti kedai dan tempat pemasaran produk pertanian yang kini berselerak dan tidak selaras kepada sistem pemasaran pertanian bersepadu.

Sistem bersepadu itu bertujuan menyediakan rangkaian efektif dari ladang untuk memasarkan produk pertanian menerusi penyelarasan dan pengurusan kedai dan tempat pemasaran secara sistematik bagi pasar malam kelolaan majlis tempatan; pasar tani kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); agrobazar; pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan syarikat induk; pusat pengumpulan FAMA; pusat lelongan ternakan dan pasar borong pertanian.

Kementerian, katanya sedang mengkaji kemungkinan untuk mewujudkan pasar borong bersepadu bagi produk pertanian di negeri ini, mengikut model Pasar Jiangnan di Guanghou, China.

Uggah berkata pembangunan tanah adat akan terus menjadi agenda penting bagi pertanian dan pembangunan luar bandar di Sarawak dan menurutnya terdapat keperluan untuk menambah baik model pembangunan tanah NCR (Tanah Adat) sedia ada untuk menyediakan model alternatif kepada pemilik tanah NCR, iaitu model usaha sama di bawah Konsep Baharu Pembangunan Tanah NCR.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *