Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Santuari Kelah Tasik Kenyir Ditutup Sementara

Santuari Kelah Tasik Kenyir Ditutup Sementara

KUALA TERENGGANU, Santuari Ikan Kelah (SIK) di Sungai Petang, Tasik Kenyir akan ditutup sementara bermula 1 November hingga 28 Februari 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, penutupan itu bagi pemeliharaan ekosistem yang ada di situ dan akan dibuka semula pada 1 Mac 2019.

“Santuari Kelah akan ditutup dalam tempoh terdekat dan akan dibuka apabila tiba masa yang sesuai. Ia bagi memelihara ikan dan memberi tempoh kepada pembiakan seperti bertelur dan sebagainya.

“Penutupan lokasi itu juga turut berdasarkan tempoh waktu yang tidak sesuai untuk dikunjungi atas faktor keselamatan seperti mengelak kejadian kepala air dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kolokium Umara & Ulama Terengganu di Dewan Batu Besurat, Kompleks Muzium Negeri, di sini, pada isnin.

Dalam perkembangan sama, Ariffin berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan sumber alam di situ terpelihara dan mengelak kejadian kecurian ikan kelah.

“Kami akan lihat isu-isu kecurian dengan pihak yang berkenaan supaya mereka boleh buat pemantauan bagi mengelak kejadian itu berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kawasan lain di Tasik Kenyir dibuka seperti biasa dan bersedia menerima kunjungan daripada orang ramai untuk menikmati pelbagai produk pelancongan yang ada di situ.

Antara yang boleh dikunjungi ialah Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir, Gua Bewah, Air Terjun Lasir, Air Terjun Saok, Taman Herba, Taman Orkid, Taman Rama-rama, Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir dan pelbagai lagi lokasi menarik di situ.

Leave a Reply

Top